Dua lelaki dipenjara 14 hari gagal beri penjelasan berkaitan 40 biji kelapa - Utusan Malaysia

Dua lelaki dipenjara 14 hari gagal beri penjelasan berkaitan 40 biji kelapa

V. SUPRAMANY (kanan) dan Muhammad Amir Rashid Masri dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas gagal memberi penjelasan memuaskan berkaitan pemilikan 40 biji kelapa. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Gara-gara gagal memberi penjelasan berkaitan pemilikan 40 biji kelapa, dua lelaki dipenjara selama 14 hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret T. Ashvinii terhadap V. Supramany, 50, dan Muhammad Amir Rashid Masri, 34, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh itu berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 12 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama berada dalam milikan dua karung guni berisi 40 biji kelapa di mana mereka tidak dapat memberi penjelasan memuaskan bagaimana mendapatkan harta itu yang disyaki diperoleh secara curang.

Supramany yang tidak bekerja manakala rakannya yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ladang Kelapa Alpha Bernam, Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 8 malam, 12 Julai 2024.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y100 telah ditahan pengawal keselamatan di tepi jalan di kawasan ladang berkenaan.

Hasil pemeriksaan menemukan 40 biji kelapa yang disyaki dicuri dua lelaki itu sebelum pengadu bertindak membuat laporan polis.

Tangkapan ke atas kedua-dua tertuduh dibuat selepas mereka gagal memberi penjelasan yang munasabah berkaitan pemilikan barang tersebut yang disyaki telah dicuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×