KUALA LUMPUR: Pembangunan sistem data baharu Budi Madani (BUDI) tidak melibatkan sebarang kos dan capaian data serta maklumat diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pembangunan sistem tersebut hanya menggunakan kepakaran dalaman melibatkan kakitangan kerajaan untuk mengumpul segala maklumat bagi bantuan diesel.
“BUDI Madani ini adalah dari dalaman, tidak melibatkan sebarang kos dan semua melibatkan kakitangan kerajaan dan ia adalah internal development. Semuanya dari LHDN dan kita mempunyai pakar sendiri dan ia tidak melibatkan sebarang kos,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Nurul Amin Hamid (Pas-Padang Terap) mengenai perbezaan Budi Madani dan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengeluarkan kos sebanyak RM85.27 juta bagi tujuan penyasaran semula subsidi petrol RON95.
Bagaimanapun, menteri berkata, beliau tidak boleh menjawab bagi sistem PADU dan menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Ekonomi. – UTUSAN










