PETALING JAYA: Ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilapor merayu untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini hanya KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan yang masih mempunyai kekosongan.
Bagaimanapun, katanya, kekosongan itu berbaki kurang daripada 50 tempat sahaja.
“Lepas subuh baca mesej, ramai merayu KPTM. Saya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPTM, hanya KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan yang masih ada tidak sampai 50 tempat sahaja lagi. Ramai nak masuk Mara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pengambilan KPTM Ipoh mencapai 92 peratus dengan sejumlah 54 kekosongan daripada 660 tempat direkodkan, manakala KPTM Kuantan mencapai 97 peratus dengan 20 kekosongan daripada 720 tempat.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga sudah minta pihak pengurusan memastikan segala kebajikan pelajar diambil kira dengan serius.
Katanya, sekiranya ada sebarang keluhan, pihak Mara akan segera dan cuba sedaya upaya untuk tangani dan selesaikannya.
“Jika ada implikasi kewangan maklumkan pada pihak Mara segera. Insya-Allah saya akan bawa ke peringkat Majlis Mara dengan segera untuk diperhalusi dan dibantu.
“Insya-Allah Mara juga berusaha semaksima mungkin untuk terus aktif berkolaborasi dengan pihak industri dan memastikan kurikulum dan modul yang ditawarkan relevan dan ada nilai tambah seperti tambahan pengiktirafan profesional daripada pihak industri.
“Ini penting untuk membolehkan pelajar-pelajar dapat pekerjaan dengan gaji bermaruah setelah taman belajar. Alhamdulillah setakat ini Mara masih kekalkan peratusan kebolehpasaran graduan institusi pendidikan Mara (IPMA) melebihi 95 peratus iaitu lebih tinggi berbanding institusi pendidikan lain,” katanya. – UTUSAN








