PETALING JAYA: Undang-undang antilompat parti wajar ditambah baik dengan memberi kuasa kepada badan kehakiman untuk menentukan sama ada berlaku kekosongan kerusi atau sebaliknya dan bukan diletakkan bawah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Buat masa ini, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menetapkan hanya Speaker yang mempunyai bidang kuasa untuk memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka apabila wakil rakyat terhenti sebagai anggota Parlimen kerana tidak lagi menjadi anggota parti politik yang sekali gus perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK).
Hal ini kerana penggubalan undang-undang antilompat parti yang bertujuan mengekang wakil rakyat melompat parti akan mencetuskan pelbagai implikasi dan menjadi sia-sia sekiranya prinsip peraturan itu tidak dihormati.
Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, memberi kuasa kepada Speaker dalam menentukan kekosongan kerusi akan mencetuskan polemik dan persepsi tidak kesudahan kerana wujud dakwaan campur tangan politik.
Katanya, senario membabitkan tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini telah menyebabkan berlakunya dua keputusan berbeza walaupun satu undang-undang sama seperti mana terjadi di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Misalnya Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker DUN Selangor pula sebaliknya. Ini mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.
“Sepatutnya lebih awal Perkara 49A memasukkan elemen badan kehakiman yang berbidang kuasa memutuskan bahawa berlaku kekosongan luar jangka di atas tindakan wakil rakyat melompat parti dan bukannya Speaker.
“Jika tidak, Speaker walaupun dikatakan bebas namun ia boleh cenderung kepada pihak yang memilihnya sebagai Yang Dipertua Dewan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Polemik berkaitan Akta Anti Lompat Parti timbul susulan tindakan tujuh wakil rakyat Bersatu termasuk enam ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri kekal sebagai ahli Dewan Rakyat dan ADUN.
Antaranya Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman serta ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Ia ekoran keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan DUN Selangor bahawa semua pemimpin berkenaan kekal sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebaliknya mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu. – UTUSAN










