Peruntukan RM50,000 GAPENA anjur aktiviti bahasa

Peruntukan RM50,000 kepada GAPENA anjur aktiviti bahasa dan sastera IPT

PUZI (dua dari kanan) dan Marzuki (tiga dari kiri) bersama Zambry (tiga dari kanan) pada sambutan Hari Puisi Kebangsaan 2024 di ibu negara malam tadi. Turut kelihatan Zaini (kiri) dan Zainal Abidin (kanan) serta Saleh .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kementerian Pengajian Tinggi memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bagi menganjurkan  aktiviti bahasa dan kesusasteraan yang akan melibatkan semua institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) awam dan swasta di negara ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam majlis sambutan Hari Puisi Kebangsaan ke-3 di sini, malam tadi

Zambry berkata, beliau telah berbincang mengenai penganjuran aktiviti sastera tersebut  dengan Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Setiausaha kementeriannya , Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

Menjelaskan lebih lanjut kepada media kemudian, Zambry berkata, antara yang dibincangkan termasuklah cadangan penganjuran sayembara puisi peringkat IPT serta program program berkaitan sastera dan penulisan terutamanya puisi.

“Penganjuran aktiviti sedemikian penting dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan pembentukan jati diri rakyat Malaysia di tengah tengah ledakan teknologi maklumat, robotik serta kecerdasan buatan (AI), “ ujarnya.

Yang turut hadir Timbalan Presiden GAPENA , Prof Madya Dr. Mohamad Saleh Rahamad dan beberapa penyair terkenal tanah air termasuklah antaraya Sasterawan Datuk Dr. Rahman Shaari Datuk Dr. Lim Swee Tin dan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau turut menyanjung tinggi usaha penganjuran aktiviti kesusasteraan seperti Hari Puisi Kebangsaan kerana ia  berperanan penting dalam konteks pembinaan negara bangsa.

Hari Puisi Nasional dianjurkan setiap 12 Julai sempena tarikh kelahiran Sasterawan Negara Datuk Usman Awang pada 12 Julai 1929.

Usman merupakan sosok penting dalam peta sastera kebangsaan kerana sumbangan besar beliau dalam mencorakkan bidang sastera tanah air.

Dalam majlis tersebut, dua penyair dinobatkan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2024 iaitu Puzi Hadi dan Marzuki Ali.

Kedua-dua mereka merupakan dua tokoh terkini diberi anugerah sempena sambutan Hari Puisi Kebangsaan ke-3 pada kali ini yang bertemakan Puisi Lambang Peradaban Bangsa. 

Penerima Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 ialah Sasterawan Negara Baharuddin Zainal@Baha Zaion dan Sasterawan Datuk Dr. Rahman Shaari.

Penerima anugerah yang sama bagi tahun 2023 ialah Datuk Lim Swee Tin dan Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Sementara itu Dr. Victor A. Pogadez menerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023.- UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×