PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu tidak pernah memecat tujuh wakil rakyatnya yang berpaling kepada Kerajaan Perpaduan seperti mana didakwa.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu terhenti dengan sendiri.
“Bersatu tidak memecat ‘katak-katak’ ini seperti yang didakwa puak Pakatan Harapan (PH), sebaliknya keahlian tujuh orang katak ini ‘terhenti dengan sendiri’ kerana mereka melanggar perlembagaan parti yang telah dipinda.
“Semua wakil rakyat Bersatu patuh dan akur dengan arahan parti, hanya tujuh pengkhianat katak ini yang tidak akur dan ini jelas melanggar Perkara 49A selepas parti sahkan keahlian mereka terhenti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang berkata, pemimpin Bersatu sepatutnya mengambil tanggungjawab apabila enam ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal sebagai wakil rakyat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, ini disebabkan mereka yang menentang pindaan menyeluruh Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti 2022 sebelum ini.
Beliau menyifatkan apa yang sedang dihadapi oleh Bersatu ketika ini berhubung isu kedudukan enam bekas ahli Parlimennya yang berpaling tadah sebagai senjata makan tuan.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PH adalah punca demokrasi berparlimen negara rosak dan harus ditolak oleh rakyat.
Katanya, PH yang membuat onar dan khianat kepada prinsip mereka tetapi menyalahi pihak lain.
“Puak PH ini tidak jujur dengan diri mereka apatah lagi kepada rakyat. Rakyat harus buka mata yang main kotor kini adalah mereka demi kekalkan dua pertiga sokongan dalam Dewan Rakyat dan mereka takut dengan gelombang rakyat jika tujuh pilihan raya kecil ini berlaku.
“Urusan pindaan perlembagaan parti Bersatu untuk menghukum pengkhianat dibuat dengan teratur dan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan (Ro), selari dan selaras dengan peruntukan 49A dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN











