PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan menafikan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menyatakan proses pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) pada tahap rendah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan audit itu bukan merujuk kepada semakan tahun ini atau tahun lalu, sebaliknya beberapa tahun lepas membabitkan kapal yang tidak siap.
Katanya, sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kepemimpinan, mereka tetap meneruskan pembinaan LCS dan menyelesaikan isu peruntukan serta memastikan pembinaannya berjalan dengan baik.
“Kapal yang pertama sudah pun diuji dan ini sangat penting serta signifikan disebabkan kita mahu menguji sama ada reka bentuk kapal ini betul atau sebaliknya.
“Jika kapal ini sudah direka bentuk serta diuji dan tidak mengalami masalah, kita akan melakukan kerja memasang semua peralatan di dalam kapal ini sehingga akhir tahun ini.
“Kita menjangkakan kapal pertama akan siap pada 2026 dan kini proses pembinaan kapal LCS berjalan lancar mengikut jadual,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga 31 Disember 2022 adalah rendah, berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak menafikan laporan audit mengenai kapal-kapal yang sudah melebihi usia masih digunakan untuk operasi.
Katanya, memandangkan urusan pembelian dan kerja-kerja menyiapkan LCS agak lambat, pihaknya terpaksa melakukan reprofit dan kapal berkenaan masih lagi boleh beroperasi.
“Kita bersyukur kerana penyiapan LCS berjalan lancar serta mengikut jadual dan kita baru sahaja mendapat perolehan tiga LCS baharu dari Turki yang dijangka siap pada akhir 2027.
“Dengan itu, kita akan ada lima LCS, tiga kapal misi pesisir (LMS) dan dari masa ke semasa akan ada kapal lain serta kapal sedia ada yang masih boleh diguna pakai,” katanya. – UTUSAN










