KUALA NERUS: Program Pra Tahfiz yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bukan bermotifkan politik sebaliknya ia adalah agenda nasional kerajaan untuk melahirkan ramai huffaz cilik di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu perlu disokong oleh semua pemimpin Islam dan semua individu yang beragama Islam tanpa mengaitkannya dengan politik.
Katanya, Program Pra Tahfiz dilaksanakan Kemas bertujuan melahirkan huffaz cilik yang mahir dalam bacaan dan pengajian ilmu al-Quran serta pengajian Islam.
“Ini bagi memastikan kesucian dan kesahihan al-Quran terus terpulihara dan dipelajari dengan mendalam oleh generasi kita. Oleh itu, kita semua harus ‘buta warna’ untuk menyokong usaha yang dilakukan kerajaan ini.
“Kita ketepikan warna-warna politik. Ini bukan agenda politik, ini adalah agenda agama dan nasional yang perlu disokong pemimpin Islam dan umat Islam,” katanya ketika melancarkan Program Pra Tahfiz peringkat Kemas Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu, di sini, semalam.
Untuk rekod, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas.
Program yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu disertai sebanyak 10,843 Tabika Kemas di seluruh negara dengan kurikulum sedia ada diperkukuh dan dimasukkan program baharu agar ilmu berkaitan akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan di peringkat tabika.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Program Pra Tahfiz itu juga adalah landasan terbaik yang dilaksanakan Kemas untuk menanam kecintaan terhadap al-Quran sejak kecil, agar kanak-kanak itu membesar dengan nilai-nilai murni yang terpahat dalam jiwa mereka. – UTUSAN











