Presiden Iran tolak tekanan AS, berpihak pada China-Russia

Presiden Iran tolak tekanan AS, berpihak pada China-Russia

MASOUD PEZESHKIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden terpilih Iran, Masoud Pezeshkian mengingatkan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu tidak akan bertindak balas terhadap tekanan.

Dalam satu kenyataan bertajuk ‘Mesej kepada dunia baru’ yang diterbitkan dalam Tehran Times pada Sabtu, beliau turut menekankan persahabatan negaranya dengan China dan Russia.

Pezeshkian, dianggap tokoh yang lebih sederhana berbanding lawannya dalam Pilihan Raya Presiden lalu, juga menjelaskan Teheran akan memperluas hubungan jiran serta berinteraksi dengan Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Amerika Syarikat…perlu mengiktiraf realiti dan memahami bahawa Iran tidak dan tidak akan bertindak balas terhadap tekanan dan doktrin pertahanan Iran tidak termasuk senjata nuklear.

“China dan Russia konsisten menyokong kami pada masa-masa mencabar. Kami amat menghargai persahabatan ini,” katanya.

Sebagai sekutu strategik dan jiran kepada Iran, beliau berkata, pentadbirannya akan terus komited untuk mengembangkan serta meningkatkan kerjasama dengan Russia.

Pada masa sama, Pezeshkian berkata, Teheran juga akan menyokong secara aktif inisiatif untuk menamatkan konflik di Ukraine.

“Rakyat Iran memberi mandat kepada saya untuk meneruskan penglibatan yang membina di pentas antarabangsa sambil menuntut hak-hak kami, martabat serta peranan sewajarnya di rantau ini dan dunia.

“Saya menyampaikan jemputan terbuka kepada mereka yang bersedia untuk bergabung dengan kami dalam usaha bersejarah ini,” kata Pezeshkian.

Semasa kempennya sebelum ini, Pezeshkian, 69, berjanji untuk menggalakkan dasar luar yang pragmatik, meredakan ketegangan berhubung rundingan yang kini terhenti dengan kuasa-kuasa besar untuk memulihkan pakatan nuklear 2015 dan meningkatkan prospek liberalisasi sosial serta pluralisme politik.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Iran meragui keupayaannya untuk memenuhi janji tersebut kerana Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei adalah pihak berkuasa utama di Republik Islam itu.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×