SEGALA-GALANYA bermula daripada perkahwinan tidak direstui keluarga sebelah suami. Berurutan daripada itu si mertua sedaya upaya mencari kesalahan menantu.
Daripada sekecil-kecil tidak pandai menyusun atur perabot rumah sehinggalah alasan malu memiliki keturunan cacat.
Minggu ini saya kongsikan kisah Zuriyati (bukan nama sebenar) bukan menantu pilihan yang diceraikan selepas melahirkan anak cacat.
Kata wanita berusia awal 30-an ini, disebabkan itu juga dia terpaksa membesarkan anak istimewanya, Bella (bukan nama sebenar) sendirian selama 12 tahun.
Dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini, Zuriyati berkata, dia sudah lama memaafkan bekas suami dan ibu mertuanya.
“Saya tidak pernah membenci apa lagi berdendam. Apa yang berlaku adalah ujian untuk saya,” ujarnya.
Berkongsi kisah rumahtangganya, kata Zuriyati, dia dan bekas suami, Sham (bukan nama sebenar) menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun sebelum bersatu sebagai suami isteri.
Sepanjang tempoh itu, dia tahu keluarga bekas suami tidak pernah merestui hubungan mereka.
Mereka memandang rendah kepada Zuriyati yang datang daripada keluarga bercerai-berai.
Walaupun Zuriyati berpendidikan tinggi, ia langsung tidak mengubah penerimaan kedua ibu bapa Sham terhadapnya.
Namun siapalah mereka untuk menidakkan takdir.
Pada akhirnya Zuriyati dan Sham diijab kabul.
Keluarga suami terpaksa merestui.
Enam bulan kemudian, Zuriyati hamil.
Layanan ibu mertua mulai sedikit berubah terhadapnya.
Ibu mertuanya sering bertanya khabar dan setiap dua minggu sekali berkunjung ke rumah mereka.
Pun begitu semua kegembiraan dan kebahagiaan itu tidak bertahan lama.
Segalanya musnah hancur berkecai. Dunianya seolah-olah gelap.
Ini selepas kelahiran Bella (bukan nama sebenar).
Ibu mana yang tidak berasa bahagia selepas mengetahui bakal melahirkan cahaya mata dari benih lelaki dicintai.
Bagaimanapun kelahiran Bella bagaikan tsunami bagi ibu mertua kerana Bella tidak dilahirkan seperti bayi normal.
Ketika itu juga pelbagai pertanyaan bersilih ganti bermain di fikirannya.
Dia sendiri tidak tahu apakah kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun kata Zuriyati, sebagai ibu yang mengandung dan melahirkan, dia tetap menyayangi bayi itu.
Mengimbas ketika proses melahirkan anak istimewanya itu, ia tidak semudah disangka.
Zuriyati hampir kehilangan bayinya, tetapi pada akhirnya dia berjaya melahirkan Bella dengan selamat.
Meskipun berjaya melalui proses melahirkan, dia diuji lagi dengan anak Cerebal Palsy iaitu berdepan masalah gangguan gerakan otot atau postur disebabkan perkembangan tidak normal di otak.
Menyambung cerita kata Zuriyati, ketika doktor memaklumkan keadaan bayi yang akan membesar menjadi seseorang tidak normal, suami paling sedih dan kecewa.
Awalnya, suami masih boleh menerima kehadiran anak mereka.
Namun memasuki usia enam bulan, rumahtangga mereka mulai goyang.
Ternyata campur tangan ibu mertua secara perlahan-lahan mengugat perasaan Sham terhadap Bella.
Suami yang dahulunya berjanji untuk sama-sama menjaga anak mereka, semakin menjauhkan diri.
Mereka sering bertengkar mengenai kecacatan dialami anak sulung mereka.
“Ibu mertua terus -terusan mempersoalkan dan menyalahkan saya melahirkan anak sedemikian dan mendesak suami menceraikan saya.
“Awalnya suami menyebelahi saya, namun setelah diasak setiap hari, akhirnya dia termakan juga kata-kata ibu sendiri,” kata Zuriyati lagi.
Zuriyati mengakui pernah seketika dia berasa sangat-sangat tertekan.
Perlakuan ibu mertua yang sering campur tangan dalam urusan rumahtangga membuatkan dia semakin rimas.
Suami sering memarahinya dengan mengucapkan kata-kata kasar.
Selepas diceraikan Zuriyati tidak patah semangat.
Dia memilih untuk membesarkan Bella sendirian.
Setelah bergelar janda, Zuriyati meneruskan pekerjaannya sebagai kerani di salah sebuah firma guaman di ibu negara.
Selain fokus kepada pekerjaan, Zuriyati tidak lupa menghantar Bella mendapat rawatan terapi.
Kata Zuriyati, sejujurnya dia sedih apabila bapa kandung membuang anaknya sendiri.
“Saya sedih malah takut apabila terpaksa memikul tanggungjawab berseorangan setelah ditinggalkan suami.
“Namun saya cuba kuatkan diri. Alhamdulilah, saya tidak sendirian. Selain ahli keluarga, kawan-kawan banyak memberi semangat,” ujarnya.
Kata Zuriyati, dia bersyukur sepanjang membesarkan Bella, anak syurganya itu tidak menghidap sebarang penyakit kronik dibandingkan dengan anak orang lain.
Katanya, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.
“Sebaiknya bertenang, teruskan berdoa dan tunggu kebahagiaan itu datang,” katanya tersenyum penuh makna.
Cuba menebak perasaannya ketika itu, kata Zuriyati dia kini sedang meniti hari ke gerbang hari bahagia.
Katanya, penghujung Julai ini dia bakal mendirikan rumahtangga kali kedua dengan rakan sekolah lamanya, Rahim (bukan nama sebenar).
Duda anak dua itu sudah lama menyimpan perasan terhadap Zuriyati.
“Saya akui agak sukar menerima lelaki yang bakal menjadi suami saya. Apalagi saya mempunyai anak istimewa.
“Namun melihat kesungguhannya, saya membuka hati menerima kehadiran lelaki semula dalam hidup,” ujarnya.
Anak-anak istimewa merupakan amanah Allah kepada setiap ibu bapa untuk dijaga dan disantuni.
Islam tidak pernah menyisihkan golongan ini atau mengasingkan mereka, bahkan ada gesaan di dalam al-Quran yang memberi perhatian kepada golongan ini.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fath ayat ke 17 bermaksud:
Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang terperi sakitnya.










