SAUDARA PENGARANG,
IDEA Model Cherok Tok Kun (MCTK) cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan idea baharu yang tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara melalui pendekatan pimpinan atasan kerajaan turun ke bawah menyelami dan mengenal pasti segenap isu rakyat terkait dengan masalah setempat yang memerlukan tindakan pantas dan segera.
Kepantasan dan kecekapan menyelesaikan isu rakyat merupakan komitmen utama di bawah kerajaan agar setiap rakyat tidak tercicir dari arus pemerkasaan dan usaha mengangkat martabat rakyat yang merupakan kelompok kecil yang tidak diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.
Dengan pendekatan MCTK ini diharapkan seramai mungkin pimpinan kerajaan dapat mengenal pasti isu setempat khususnya dalam meningkatkan pembangunan kampung yang merangkumi pembangunan fizikal, mental, emosi, nilai dan yang memerlukan setiap pimpinan kanan kerajaan mengenal pasti masalah.
Pendekatan ini merupakan tapak awal permulaan dan langkah tepat bagi membantu rakyat untuk mendapatkan penyelesaian yang mungkin sebahagian kecilnya tidak dapat dilaksanakan dengan baik akibat kekangan dan halangan birokrasi yang panjang.
Oleh itu, pendekatan ini merupakan satu usaha murni bagi tujuan merealisasikan inspirasi dan hasrat Perdana Menteri agar suara rakyat bawahan sentiasa terbela melalui pendekatan tersebut.
Tekad ini memerlukan setiap pimpinan kanan kerajaan untuk menghidupkan kekuatan manusiawi yang memerlukan pimpinan prihatin terhadap nasib rakyat di kampung masing-masing.
Usaha ini memerlukan idea dan kepakaran anak tempatan dalam menyelesaikan isu setempat dan sudah tentu jika ramai pimpinan mengambil bahagian, ia sedikit sebanyak dapat membantu rakyat.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










