Pasangan Australia, wanita Filipina dibunuh dalam bilik hotel

Pasangan Australia, wanita Filipina dibunuh dalam bilik hotel

SEORANG lelaki berjalan di luar Lake Hotel, di bandar Tagaytay, selatan Manila.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Dua warga Australia bersama rakannya, seorang wanita Filipina ditemukan mati di sebuah hotel di bandar peranginan popular, selatan ibu negara Filipina.

Mayat mangsa ditemukan seorang pekerja hotel dengan keadaan tangan dan kaki diikat di dalam sebuah bilik di Hotel Lake, bandar Tagaytay di selatan Manila pada Rabu, menurut kenyataan polis.

Ketua Polis Tagaytay, Charles Daven Capagcuan berkata, motif pembunuhan masih belum jelas, sambil memaklumkan beberapa barangan berharga mangsa, termasuk telefon bimbit tidak diambil oleh suspek.

Mangsa dikenal pasti adalah seorang lelaki warga Australia berusia 50-an, bersama pasangannya yang lahir di Filipina dan memperoleh kewarganegaraan Australia serta saudaranya dari negara itu.

Penyiasat giat mengambil keterangan saksi dan memeriksa kamera keselamatan di hotel, termasuk satu rakaman menunjukkan seorang lelaki memakai pelitup muka yang keluar dari bilik mangsa beberapa jam sebelum mayat mereka ditemukan, kata Capagcuan.

Datuk Bandar Tagaytay, Abraham Tolentino mengakui terkejut dengan kejadian itu dan memohon maaf kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Kami sangat memohon maaf kepada rakan Australia kami. Kami akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

Ahli keluarga mangsa memberitahu, pasangan itu terbang dari Sydney ke pulau peranginan Bali di Indonesia untuk bercuti dan kemudian menuju ke Filipina untuk melawat dua anaknya daripada perkahwinan terdahulu di negara itu.

Pasangan warga Australia itu sepatutnya terbang pulang ke Australia pada hari mereka dibunuh, tetapi memutuskan untuk bercuti sebentar di Tagaytay.

Tolentino berkata, mayat lelaki warga Australia itu akan dibawa pulang ke Sydney, manakala dua lagi mangsa wanita akan dikebumikan di Filipina seperti yang dituntut keluarga masing-masing.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia turut mengumumkan bantuan konsular kepada keluarga mangsa.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×