PUTRAJAYA: Tiga banduan akhir terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun kerana membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu, 22 tahun lalu.
Mereka ialah Azizul Azual Jailani, 40; bekas eksekutif jualan, Sulkarnain Alias, 46, dan bekas pemandu forklif, Noorman Ab. Wahab, 45.
Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya.
Bukti yang diperoleh menunjukkan mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang bersidang pada 2 April lalu turut memerintahkan ketiga-tiganya dikenakan sebatan 12 kali.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati terhadap mereka.
Hukuman penjara terhadap Azizul Azual berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 17 Februari 2002 manakala Sulkarnain dan Noorman bermula 16 Februari 2002.
Azizul Azual, Sulkarnain dan Noorman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, dekat ini pukul 9.30 malam pada 12 Februari 2002.
Pada prosiding semakan, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling membantah permohonan itu atas alasan nyawa Bakarudin diragut dengan cara yang amat kejam, ngeri dan ganas apabila petrol digunakan sehingga menyebabkan 70 peratus tubuhnya terbakar sebelum ditinggalkan dalam parit.
Beliau berhujah, perbuatan itu telah dirancang terlebih dahulu apabila senjata dibawa bersama ketika mereka mengadakan pertemuan dengan Bakarudin pada malam kejadian.
“Mangsa dipukul sebelum ditikam dan ditetak menggunakan pedang sehingga mengalami 13 kecederaan termasuk luka tetakan berukuran 14 sentimeter di kepala yang merosakkan otaknya,” hujah May Ling.
Beliau turut menyatakan, Azizul Azual (pemohon pertama) memainkan peranan penting kerana dia bertanggungjawab membawa senjata ke tempat kejadian selain berperanan sebagai individu pertama yang menyerang Bakarudin dengan menendangnya sehingga mangsa terjatuh.
Sulkarnain (pemohon kedua) pula berperanan mengatur pertemuan dengan mangsa menerusi bantuan teman wanitanya.
Dia bertindak mencekik leher mangsa, menetaknya beberapa kali, membakarnya menggunakan petrol serta mencuri dompet selain cuba mengeluarkan wangnya melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Noorman (pemohon ketiga) turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu dengan meletak pedang di leher mangsa serta membantu membakarnya dengan petrol.
Sementara itu, peguam-peguam Abdul Rashid Ismail bagi pemohon pertama serta Datuk C. Vignesh Kumar yang mewakili pemohon kedua dan ketiga memohon mahkamah mempertimbang bahawa ketiga-tiganya merupakan pesalah muda.
Pihak peguam menghujahkan agar mahkamah mengambil kira faktor Bakarudin terlebih dahulu mengganggu teman wanita Sulkarnain berkali-kali menyebabkan lelaki itu mahu bersemuka (man to man) dengan mangsa bagi menghentikan gangguan terhadap kekasihnya.
“Pembunuhan itu bukan dirancang sebaliknya berlaku atas unsur provokatif kerana mangsa telah mengganggu teman wanita Sulkarnain serta langsung tidak berasa bersalah atau memohon maaf atas perbuatannya,” hujah pembelaan.
Insiden itu berlaku selepas Sulkarnain mendapat tahu Bakarudin telah menghubungi teman wanitanya yang disingkir dari UiTM, memintanya bermalam di sebuah kondominium sebagai ganjaran membantunya dalam rayuan untuk diterima kembali ke kolej.
Pada 23 Februari 2015, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Ahmad Maarop sebulat suara menolak rayuan akhir mereka dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap ketiga-tiganya. – UTUSAN










