Pelik kalau saya buat begitu - Amirah Razak hampir beli followers

Pelik kalau saya buat begitu – Amirah Razak hampir beli followers media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Amirah Razak mengakui sebelum ini hampir membeli pengikut media sosial semata-mata untuk meyakinkan syarikat produksi agar mengambilnya berlakon.

Kata pelakon filem Lubuk itu, keinginan tersebut timbul selepas beberapa kali berdepan penolakan gara-gara jumlah pengikut media sosial yang sedikit.

“Tetapi bila difikirkan semula, pelik kalau saya buat begitu. Ibarat tipu diri sendiri. Kalau mahu beli, elok saya buat sebelum ini lagi.

“Jadi saya ambil pendekatan untuk biarkan nama saya naik perlahan-lahan, kalau ada rezeki, adalah. Yang penting kena berusaha,” katanya.

Amirah ditemui selepas sesi tayangan filem Lubuk yang diadakan semalam.

Berkongsi pengalaman, Amirah mengakui pernah menyimpan rasa kecewa apabila bakatnya tidak dipandang hanya disebabkan namanya tidak sepopular pelakon lain

“Pengikut (media sosial) saya sedikit jumlahnya. Kerana itu saya pernah bertanyakan kepada pengarah filem Lubuk, Mark Lee See Teck, adakah dia benar-benar mahu mengambil saya berlakon.

“Isu ini timbul apabila pada tahun lepas ada syarikat produksi yang tidak menerima saya berlakon kerana jumlah pengikut media sosial saya tidak mencukupi.

“Awalnya memang saya kecewa. Tapi, bila difikirkan semula, kalau saya ditempat mereka, tentu saya juga mahukan pelakon terkenal untuk bantu promosikan filem atau drama berkenaan. Kalau itu solusinya, tidak mengapa,” katanya.

Kata Amirah lagi, kefahaman mendalam berkenaan isu populariti ini membuatkan dia tidak terasa hati apabila tidak dipandang gara-gara namanya tidak terkenal.

“Kalau yakin dengan kebolehan sendiri, kita tidak akan anggap isu populariti ini sebagai persaingan.

“Jadi senang cerita saya tak terasa dengan perkara itu sebab saya faham situasinya.

“Saya pegang kata-kata pelakon senior yang menasihatkan saya agar sentiasa bina percaya diri untuk kekal lama dalam bidang lakonan.

“Kalau selepas ini nama meledak, jadi pelakon yang baik dan jangan timbulkan masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×