MELAKA: Dua kanak-kanak meninggal dunia dipercayai lemas akibat asap tebal akibat terperangkap dalam kebakaran yang melibatkan premis bilik sewa di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut ialah Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, yang cedera masih dirawat di hospital.
Katanya, kebakaran di tingkat satu, dua dan tiga itu disedari pemilik premis tingkat bawah kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Jelasnya, saksi kejadian yang menginap di tingkat dua memaklumkan, pada pukul 1.50 petang mereka melihat asap tebal memasuki bilik sebelum pasangan suami isteri itu bertindak menyelamatkan diri.
“Saksi terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri. Kedua-dua mangsa ini telah dibawa ke Hospital Melaka dan keadaan mereka stabil.
“Dalam operasi menyelamat yang dijalankan pihak bomba telah berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang berada di sebuah bilik di tingkat tiga. Kesemua mangsa telah dibawa keluar daripada bangunan dan dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota Pondok Perhubungan Hospital Melaka mengatakan, kedua-dua anak mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka,” katanya.
Tambah Christopher, tingkat satu mempunyai lima bilik sewa, tingkat dua (10 bilik) dan tingkat tiga (enam bilik).
“Selain daripada tiga mangsa yang diselamatkan, kesemua penghuni lain yang menyewa tidak ada di bilik dipercayai keluar bekerja,” katanya.
Sementara itu saksi kejadian memberitahu, tindakan pantas orang ramai berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang ketika itu berada di tingkat dua premis bilik sewa tersebut.
Pengusaha Restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, berkata, dia bersama pekerjanya bergegas ke tempat kejadian sejurus terdengar jeritan menyebut ‘terbakar’ tidak jauh dari kedainya.
Menurutnya, sewaktu tiba, dia melihat suami isteri terlibat cuba keluar melalui tingkap di tingkat dua, ketika kebakaran sedang bermula di tingkat satu.
“Kebetulan ada jentera yang digunakan dua pekerja mengecat bangunan tidak jauh dari situ.
“Dibantu orang ramai, kami berjaya menyelamatkan pasangan suami isteri daripada maut ketika asap tebal mula menyelubungi semua bilik di tingkat dua.
“Saya ternampak tangan melambai-lambai dari tingkat tiga tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana asap sangat tebal. Kami hanya mampu berdoa semoga mangsa selamat sebelum anggota bomba tiba selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, tiga jentera bomba dan sebuah jentera skylift dari empat balai dengan kekuatan dua pegawai dan 38 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kita menghadapi kesukaran kerana ruang bangunan dari tingkat satu hingga tingkat tiga dipenuhi asap tebal dan haba, namun operasi berjalan lancar.
“Kebakaran dipercayai hanya berlaku di tingkat satu rumah kedai berkenaan dan kita mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya. – UTUSAN











