Anwar bidas Bersatu

Anwar bidas Bersatu

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri majlis perasmian Forum Global Madani di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana hanya mengambil sebahagian tafsiran Perlembagaan berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu.

Perdana Menteri berkata, ketetapan dibuat Tan Sri Johari Abdul adalah berlandaskan undang-undang dan selepas membaca keseluruhan Perlembagaan mengenai Akta Anti Lompat Parti.

Justeru, beliau meminta Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak meninggalkan bahagian yang lain dalam membuat tafsiran undang-undang dalam isu berkenaan.

“Tafsiran undang-undang (perlu) dibaca secara keseluruhannya, jangan dipilih satu dan ditinggalkan yang lain seperti dilakukan pimpinan Bersatu semalam (kelmarin).

“(Ketetapan) ikut undang-undang, dia bukan soal ikut Perdana Menteri (atau) soal Ketua Pembangkang. Ia ikut undang-undang dan tafsirannya, itu (kita) serah kepada Speaker,” katanya selepas merasmikan Forum Global Madani di sini, semalam.

Polemik berkaitan Akta Anti Lompat Parti timbul susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. Mereka ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Bagaimanapun, kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Johari menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan selepas keahlian mereka tergugur dari parti.

Beliau berkata, Johari menerusi jawapan balas tersebut memaklumkan, tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli parti berkenaan.

Anwar berkata, tindakan Bersatu memilih membaca sebahagian undang-undang berkemungkinan sudah menjadi sebahagian gerak kerja parti tersebut.

“Saya tidak tahu mengapa dia (Muhyiddin) pilih baca sebahagian (dan) tinggalkan sebahagian, jadi mungkin itu memang kaedah kerja politik Bersatu.

“Sebab itu di kampen-kempen mereka cerita sebahagian dan tinggalkan sebahagian, seperti kes BlackRock, itu tidak betul,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan Muhyiddin bahawa Bersatu sendiri yang menolak memasukkan klausa pelucutan status Ahli Parlimen secara automatik yang dipecat daripada parti ketika draf Akta Anti Lompat Parti dibincangkan.

Katanya, ia adalah satu perkara yang sangat penting dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu berkeras untuk memasukkan klausa tersebut namun ditolak Bersatu.

Beliau berkata, semua pihak terlibat dalam perbincangan tersebut antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang kini Yang di-Pertua Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Satu hal yang sangat penting kerana semasa itu (perbincangan draf Akta Anti Lompat Parti) kami di pembangkang mahu masukkan (klausa) sesiapa yang dipecat itu automatik gugur (status Ahli Parlimen), tetapi ditentang oleh Bersatu dan sebab itu dimasukkan (istilah) terkecuali.

“Jadi mereka tahu kita (PH) berkeras mahu memasukkan (klausa) jika dipecat sekali pun mesti gugur (status Ahli Parlimen) tetapi mereka (Bersatu) menentang,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa Anwar sendiri tidak memahami Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan Perkara 49A.

Menurut beliau, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

Beliau berkata, selaras dengan peruntukan tersebut, pihaknya telah membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan yang-mana wakil rakyat parti itu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka adalah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka.

“Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli Parlimen. Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya satu dalam kenyataan.

Katanya, pihaknya telah mengambil langkah untuk melakukan pindaan undang-undang parti selepas Perlembagaan Persekutuan.

“Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan.

“Maka terhentilah keahlian mereka dalam Bersatu secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan parti dan berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×