SARMADA: Kira-kira 80 peratus penduduk barat laut Syria memerlukan sokongan bekalan air dan kebersihan, termasuk akses air minuman, pelupusan sisa serta pemulihan kemudahan sanitasi.
Bagaimanapun, sektor kritikal ini ‘secara konsisten’ diabaikan setelah menerima hanya dua peratus daripada pembiayaan yang diperlukan pada suku pertama tahun 2024, kata Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Di wilayah barat laut Idlib, OCHA berkata, kira-kira 460 kem pelarian yang menempatkan 571,000 rakyat Syria tidak menerima sokongan air, sanitasi dan kebersihan daripada organisasi rakan kongsi PBB.
“Tanpa peningkatan pembiayaan, 111 kem tambahan yang menempatkan hampir 165,000 orang akan terputus daripada sokongan sedemikian menjelang akhir September,” katanya dalam kenyataan.
Selepas konflik selama 13 tahun, PBB berkata, kekurangan pembiayaan antarabangsa menjejaskan penyediaan perkhidmatan asas seperti air, pelupusan sisa dan sanitasi di kem perpindahan di barat laut Syria.
Menurut PBB, lebih lima juta orang, kebanyakan mereka kehilangan tempat tinggal, ditempatkan di kawasan luar kawalan kerajaan di utara dan barat laut Syria, dengan ramai bergantung kepada bantuan untuk terus hidup.
Penduduk memberitahu AFP air paip tidak tersedia di kem dan organisasi bantuan juga menghentikan kemasukan pengangkutan air, dengan menyalahkan pemotongan peruntukan bantuan.
Seorang penduduk di kem berhampiran Sarmada, Hussein Al-Naasan, 30, berkata, dia bergelut untuk menyediakan keperluan air kepada keluarganya, terutama pada musim panas.
“Air adalah sebahagian daripada kehidupan, ia adalah segala-galanya. Kini, kami kekurangan air. Ia seolah-olah cubaan membunuh kami secara perlahan-lahan,” luahnya.
Naasan berkata, dia terpaksa berkongsi tangki air dengan tiga keluarga lain untuk mengurangkan kos.
Luahnya, kekurangan akses air boleh membawa kepada ‘bencana besar’ dan memberi amaran risiko yang terpaksa ditanggung penduduk kem sewaktu musim panas.
Bahkan, bahan buangan yang semakin bertimbun menambahkan risiko penyakit di kawasan yang kemudahan perubatannya musnah akibat peperangan.- AFP










