RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa diplomat dan wakil antarabangsa untuk bersuara mengenai penindasan dan penyeksaan yang dialami tahanan Palestin di penjara Israel.
Menteri Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menjemput diplomat Eropah dan wakil pertubuhan antarabangsa untuk menunjukkan kepada mereka video tiga minit yang mengandungi keterangan bekas tahanan Palestin di penjara Israel dalam beberapa bulan lalu.
Penyusunan rakaman dan wawancara media menunjukkan berlaku penganiayaan di penjara Israel dan dakwaan penyeksaan, yang dinafikan oleh Israel, sebelum ini.
“Ini tidak boleh diterima, ia bertentangan dengan semua undang-undang hak asasi manusia dan perlu dihentikan.
“Keadaan tahanan sangat membimbangkan kami rakyat Palestin dan berharap ia juga menjadi kebimbangan kepada dunia,” kata Shahin ketika mesyuarat di Ramallah pada Rabu.
Kementerian Luar Negeri yang merujuk angka daripada kumpulan advokasi dan hak asasi manusia berkata, kira-kira 9,600 rakyat Palestin kini ditahan oleh Israel.
Penangkapan dan serbuan tentera Israel di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza tercetus pada 7 Oktober, tahun lalu.
Seramai 18 banduan juga turut terbunuh sejak tarikh itu.
Pihak berkuasa Israel mengisytiharkan ‘darurat’ yang secara efektif membolehkannya memburukkan lagi keadaan tahanan dan menyekat lawatan ke penjara.
Ketua Kumpulan Advokasi Kelab Tahanan Palestin, Qadura Fares menegaskan, kebiasaannya sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai tahanan, termasuk ribuan yang ditangkap di Gaza.
“Saya percaya masyarakat antarabangsa mempunyai alat untuk membantu menghentikan apa yang berlaku.
“Jadi adakah ada kemahuan dalam masyarakat antarabangsa untuk menghentikan perkara ini atau sebaliknya?,” kata Fares.
Bagaimanapun, beberapa diplomat yang menghadiri mesyuarat itu enggan memberikan sebarang ulasan.
Disember lalu, tentera Israel mendakwa menyiasat kematian dalam tahanan melibatkan beberapa warga Palestin yang ditangkap di Gaza dan ditempatkan di penjara Sde Teiman berhampiran bandar Beersheva.- AFP










