Muhyiddin dakwa Anwar tidak faham Perlembagaan

Muhyiddin dakwa Anwar tidak faham Perlembagaan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selaras dengan peruntukan tersebut, pihaknya telah membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan yang-mana wakil rakyat parti itu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). 

“Antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka adalah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka. 

“Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli Parlimen. Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengingatkan Muhyiddin supaya membaca Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Anti Lompat Parti secara keseluruhan dan  bukan hanya mengambil sebahagian sahaja.

Anwar berkata, ketetapan dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul adalah berlandaskan undang-undang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa Anwar sendiri tidak memahami Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan Perkara 49A.

Katanya, pihaknya telah mengambil langkah untuk melakukan pindaan undang-undang parti selepas Perlembagaan Persekutuan.

“Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan. 

“Maka terhentilah keahlian mereka dalam Bersatu secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan parti dan berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar,” katanya.

Polemik berkaitan Akta Anti Lompat Parti timbul susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar, mereka adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman

Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan bahawa enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini