MELAKA: Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan memperkenalkan aplikasi i-Cemas pada hujung Ogos atau awal September ini bagi menangani kesesakan di Hospital Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, aplikasi itu membantu mempermudahkan urusan pesakit, selain merancang waktu untuk mendapatkan rawatan awal di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Menurut beliau, pesakit juga boleh mendapatkan nasihat awal daripada anggota paramedik yang bertugas melalui ruangan sembang yang disediakan.
“Pesakit boleh menyemak (masa nyata) jumlah pengunjung yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Jika waktu itu barisan menunggu panjang, pesakit boleh memasukkan simpton yang dihadapi dalam aplikasi berkenaan terlebih dahulu.
“Kita akan klasifikasikan sama ada simptom itu adalah mendesak atau tidak serta bertanyakan terus kepada anggota paramedik di ruangan sembang. Kemudian anggota paramedik akan memberikan nasihat sama ada perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem untuk menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) mengenai kaedah menyelesaikan masalah kesesakan di Hospital Melaka.
Tambah Muhamad Akmal, aplikasi i-Cemas turut mempunyai ciri carian lokasi klinik kesihatan berhampiran dengan rumah pesakit, sekali gus dapat mengelakkan kesesakan di Hospital Melaka. – UTUSAN










