‘Manja Bunga Lestari’ didakwa lagi, menyamar staf BNM

‘Manja Bunga Lestari’ didakwa lagi, menyamar staf BNM

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka bagi pertuduhan menyamar sebagai staf BNM dan menipu ibu angkatnya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita berusia 38 tahun yang sebelum ini dihadapkan ke mahkamah kerana menggunakan nama samaran ‘Manja Bunga Lestari’ untuk menipu rakannya, semalam didakwa lagi bagi pertuduhan menyamar sebagai staf Bank Negara Malaysia (BNM) dan menipu ibu angkatnya.

Bagaimanapun, tertuduh, Norhana Adam membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang wanita berusia 64 tahun dengan menyamar sebagai staf BNM bagi meminta wang proses pinjaman yang kononnya ada dimohon oleh tertuduh.

Perbuatan itu mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM39,450 sebanyak 19 kali ke dalam akaun bank milik tertuduh, yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Alai dalam daerah Melaka Tengah antara 16 November 2020 hingga 9 Februari 2021.

Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh memperdayakan mangsa dengan memberitahu wanita itu bahawa tertuduh ada membuat permohonan pinjaman bank dan perlu membuat bayaran proses bagi tujuan tersebut.

Tertuduh kemudian telah menyamar sebagai pegawai bank untuk meminta sejumlah wang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu jaminan rendah diberikan atas alasan anak guamnya telah bercerai dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran RM40 sehari.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pada 21 Jun lalu, tertuduh didakwa memperdaya rakan lelakinya berusia 64 tahun tentang seorang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dikenali sebagai Nur Amalina yang mana individu tersebut tidak wujud, akan ditukarkan ke Sabah atau Sarawak.

Penipuan itu kononnya bagi mengelakkan Nur Amalina ditukarkan sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah RM416,000 secara berperingkat antara September 2023 sehingga Jun 2024 di sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×