Gajah liar jejas pendapatan pekebun durian - Utusan Malaysia

Gajah liar jejas pendapatan pekebun durian

GAJAH liar yang merosakkan tanaman penduduk dipindahkan Perhilitan Perak ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang pengusaha kebun durian di Kampung Lasah dekat sini mengalami kerugian sehingga RM30,000 selepas kebunnya diceroboh gajah liar sejak sebulan lalu.

Kamarudin Ishak, 63, berkata, kehadiran gajah-gajah liar ketika musim durian luruh menyebabkan dia dan pekebun lain tidak sempat merasai hasil apabila raja buah itu ‘dikutip’ lebih awal oleh haiwan tersebut.

Katanya, pada kebiasaannya mamalia itu akan masuk ke kawasan kebun durian pada waktu malam dan beredar selepas pukul 5 pagi.

“Masalah gajah masuk ke kawasan kebun bukanlah perkara baru, sejak dulu lagi memang ada cuma, sekarang musim durian luruh, jadi lebih kerap kehadiran haiwan itu masuk ke kebun.

“Biasanya kalau saya datang ke kebun pada pukul 8 pagi, tak banyak lagi durian yang tinggal. Kalau ada pun durian yang luruh selepas gajah masuk semula ke kawasan hutan.

“Sebelum ini saya boleh dapat hasil antara RM200 ke RM300 untuk sekali kutipan dan RM20,000 ke RM30,000 bagi setiap musim, tapi sejak kehadiran gajah liar ini, kutipan jauh berkurangan kerana kita terpaksa berebut dengan haiwan itu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kamarudin yang merupakan bekas pekerja kuari itu menyertai penduduk kampung dalam operasi memindahkan gajah liar oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan berkaitan haiwan liar yang mengganggu tanaman penduduk itu diterima sejak awal Mei lalu.

Berikutan itu katanya, satu operasi oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) dijalankan bagi mengesan haiwan berkenaan sebelum berjaya ditangkap pada Sabtu lalu.

“Gajah betina dari Hutan Simpan Piah dinamakan Yong Manis itu dianggarkan berusia lima tahun dengan berat sekitar 1.1 tan.

“Seramai 26 anggota Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah terbabit dalam operasi memindahkan haiwan itu ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×