Buruh maut dipijak gajah tidak sempat jamah pau, tapai pulut - Isteri

Buruh maut dipijak gajah tidak sempat jamah pau, tapai pulut – Isteri

ROPIAH Sari menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut dipijak gajah ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, Gua Musang, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hasrat seorang isteri melihat suaminya menikmati kuih pau dan tapai pulut kegemarannya tidak kesampaian apabila lelaki itu maut dipercayai dipijak sekumpulan gajah liar dalam kejadian tragis di Jalan Ladang Serasa, di sini hari ini.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Razali Daud, 55, ditemukan maut berhampiran kawasan sungai selepas dipercayai diserang gajah liar ketika berkhemah di kawasan ladang kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Lebih memilukan, isterinya, Ropiah Sari, 58, berkata, dia sempat menyediakan kuih pau dan tapai pulut kegemaran arwah sebelum lelaki itu keluar dari rumah petang semalam.

Katanya, bagaimanapun arwah hanya sempat membawa makanan tersebut sebagai bekalan tanpa menjamahnya.

“Arwah memang suka kuih pau dan tapai pulut. Saya buat khas semalam, tetapi dia tidak sempat makan sebelum keluar rumah.

“Saya sedar dia keluar kira-kira pukul 5 petang apabila keretanya sudah tiada. Saya sangka dia pergi ke rumah rakannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang, di sini hari ini.

Ropiah memberitahu, dia cuba menghubungi suaminya untuk bertanya khabar selepas waktu maghrib, namun gagal dan tidak curiga dengan keadaan itu kerana arwah sudah biasa bermalam di rumah rakan di Lata Rek, Kuala Krai.

Katanya, jirannya memaklumkan suaminya dijumpai maut dipijak gajah berhampiran sungai kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Saya sangat terkejut dan tidak menyangka perubahan sikap suaminya yang dilihat sangat ceria dan mesra sejak beberapa hari lalu merupakan petanda dia akan meninggal dunia.

“Saya tidak sanggup melihat keadaan suami yang telah dipijak gajah di lokasi kejadian dan hanya menatap wajahnya di bilik mayat Hospital Gua Musang. Kejadian berlaku dalam sekelip mata, namun kami sekeluarga tetap reda dengan pemergian arwah,” ujarnya.

Ropiah berkata, jenazah suaminya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh 1 di sini selepas urusan bedah siasat selesai.

Utusan Online hari ini melaporkan, seorang buruh ditemukan maut dipercayai dipijak sekumpulan gajah yang mengamuk di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa, di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN