KULAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap dua ekor gajah jantan liar di Kampung Sawah, Sedenak di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tangkapan dilakukan susulan aduan penduduk mengenai kehadiran sekumpulan gajah yang kerap memasuki kawasan kampung sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, operasi membabitkan kawasan Kampung Air Manis, Kampung Desa Idaman, Kampung Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Pinggir, Ladang Air Manis dan sekitarnya, bermula Sabtu lalu.
“Gajah pertama berukuran 12 inci tapak kaki hadapan ditangkap pada pukul 10.30 pagi, manakala gajah kedua berukuran 13 inci tapak kaki hadapan ditangkap lima minit kemudian.
“Kedua-dua gajah dewasa itu adalah sebahagian daripada kumpulan utama dikenali sebagai ID Tenggara yang sebelum ini tular apabila dikesan di Sedenak, Simpang Renggam dan sempadan Pontian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tian Soon berkata, kumpulan gajah itu juga pernah dilihat di sekitar landasan kereta api Mengkibol dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Katanya, ia menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya serta operasi tren.
“Tangkapan dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada orang awam dan haiwan itu sendiri. Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan gajah sehingga proses pemindahan ke habitat lebih sesuai selesai,” katanya. – UTUSAN











