ALOR GAJAH: Polis menahan seorang wanita warga emas berusia 69 tahun bersama seorang lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 30-an, selepas disyaki terlibat dalam kes curi seekor lembu dan menyembelih haiwan itu di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di sini, Jumaat lalu.
Warga emas itu tamat reman hari ini manakala warga Indonesia yang juga menantu rakannya direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat seorang penternak berusia 38 tahun yang mendakwa, kedua-dua suspek terlibat mencuri dan menyembelih lembu miliknya.
Katanya, pada hari kejadian, pengadu telah mencari seekor lembunya yang didapati hilang sebelum menemui kepala haiwan itu di hadapan kebun durian milik suspek wanita.
“Semasa pengadu melalui kawasan Kampung Orang Asli Kubang Badak, dia telah ternampak satu kepala lembu berwarna coklat tanpa badan yang bertanda ‘A143229’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Pengadu berjumpa pemilik tanah tersebut iaitu suspek wanita, dia mengaku bahawa lembu tersebut telah disembelih oleh menantu rakannya kerana mendakwa ia telah merosakkan tanaman duriannya.
“Pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan kerana sebelum ini banyak lembunya telah hilang, anggaran sebanyak 20 ekor yang bertanda daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.
Tambah Ashari, hasil soal siasat mendapati, kedua-dua suspek memaklumkan bahawa daging lembu yang disembelih telah diagihkan kepada penduduk kampung. – UTUSAN










