JOHOR BAHRU: Bekas pengarah syarikat import dan eksport didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan pindaan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga tahun lalu.
Hukuman terhadap P. Poowesna, 36, dijatuhkan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Berdasarkan pertuduhan, Poowesna dan bekas suaminya, A. Mohana Sundharam, 35, didakwa menipu kakitangan di pejabat Perkeso Johor Bahru dengan mengemukakan empat Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja untuk tuntutan berjumlah RM62,120 pada 30 Mei 2021.
Pemeriksaan mendapati nama 10 pekerja yang dikemukakan tertuduh dalam empat permohonan tuntutan insentif itu bukan staf syarikat mereka.
Dia didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, keputusan hukuman terhadap Mohana Sundharam ditangguh pada 8 Ogos depan selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami keracunan makanan.
Peguam belanya, Nur Zafirah Norizan memaklumkan tertuduh mendapat cuti sakit daripada sebuah hospital swasta di bandar raya ini.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhammad Ruzi, manakala Poowesna diwakili peguam bela, Muhammad Mohd. Nasir. – UTUSAN










