BEIJING: Pengawal Pantai China membenarkan Filipina untuk memindahkan seorang pesakit di kapal perang berkarat yang terdampar di Second Thomas Shoal, di perairan Laut China Selatan yang dituntut oleh kedua-dua negara.
Pengawal Pantai China berkata, pihaknya memantau dan mengesahkan keseluruhan operasi pada Ahad lalu, atas dasar kemanusiaan.
Bulan lalu, Pengawal Pantai Filipina menuduh rakan sejawatan dari China menghalang pemindahan perubatan dari kapal perang tersebut, dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘biadab serta tidak berperikemanusiaan’.
Susulan itu, Kementerian Luar China berkata, Beijing akan membenarkan Filipina menghantar bekalan dan memindahkan kakitangan jika dimaklumkan oleh Manila sebelum misi berkenaan.
Bagi mengukuhkan sempadan maritim, Filipina menempatkan tentera yang tinggal di kapal perang yang sudah dimamah usia di Second Thomas Shoal, sejak 1999.
China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, yang merupakan laluan penting bagi perdagangan tahunan bernilai AS$3 trilion (RM14 trilion), sebagai wilayahnya sendiri.
Beijing menolak keputusan pada 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague, yang menyatakan tuntutan maritimnya tidak mempunyai asas undang-undang.- REUTERS










