PARLIMEN: Subsidi diesel, Malaysia Pengerusi ASEAN antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

PARLIMEN: Subsidi diesel, Malaysia Pengerusi ASEAN antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi diesel dan kepengerusian ASEAN antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiar melalui laman rasmi Parlimen, soalan berkaitan mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dibangkitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi soal jawab pukul 10 pagi ini. 

Hamzah mahu tahu jaminan kerajaan penyasaran subsidi itu tidak memberi kesan kepada rantaian ekonomi secara keseluruhan yang boleh mendorong melonjakkan lagi harga barang dengan kesannya kepada rakyat terbanyak terutama golongan M40 dan B40.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam sesi sama, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengajukan soalan kepada Menteri Luar  mengenai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan dan perkara utama yang mahu dicapai dalam tempoh kepengerusian itu. 

Selain itu, pertanyaan mengenai peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam membantu negara bagi soal keselamatan dan keterjaminan makanan, khususnya dari sudut aplikasi teknologi dan inovasi dikemukakan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).

Zahari Kechik (PN-Jeli) memohon Menteri Pertahanan menjawab soalan berhubung status terkini pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung perbahasan bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini