KUALA LUMPUR: Penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu menganggap mereka yang bersolat di masjid kerajan dan bersekolah di sekolah kerajaan sebagai kafir.
Perkara itu didedahkan penyerang terbabit dalam soal siasat yang dijalankan pihak berkuasa susulan serangan ke atas balai polis berkenaan, yang mengorbankan dua anggota polis.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tanggapan itu menyebabkan penyerang dan adik beradiknya tidak bersekolah di sekolah kerajaan dan mewajarkan tindakan mereka.
“Penyerang dan adik beradik tidak pergi sekolah sebab sekolah kerajaan didakwa kafir. Apabila ada kefahaman begini, dia anggap akidah dia sahaja sempurna, orang lain sebagai kafir.
“Maka tidak pelik keluarga ini mewajarkan serangan sedemikian. Keadaan ini harus kita bendung. Perbuatan kafir mengkafir sangat berbahaya dalam kehidupan kita,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai usaha kerajaan menangkis ancaman bentuk baharu keganasan dalam negara.
Dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 maut ditembak, manakala Koperal Mohd. Hasir Roslan cedera. Turut maut, seorang penyerang berusia 21 tahun.
Pada 19 Jun lalu, lima ahli keluarga penyerang terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Tertuduh adalah bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura.
Turut didakwa, tiga adik beradik lelaki yang ditembak mati, iaitu abangnya Radin Romyullah Radin Imran, 34; kakaknya, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan adiknya, Mariah Radin Imran, 19.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah diambil bagi memperketat keselamatan di balai polis selepas insiden berkenaan, Saifuddin berkata, ia dilaksanakan dengan lebih optimum.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga atas sebarang kemungkinan dalam membanteras kejadian pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis.
PDRM juga katanya, memperketat semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dalaman bagi mempertingkat kawalan keselamatan premis PDRM, merangkumi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dan arahan pentadbiran semasa yang berkaitan.
“PDRM mengedarkan pekeliling pengurusan bertarikh 20 Mei 2024 kepada semua formasi PDRM untuk mempertingkat pemeriksaan keselamatan di semua premis polis bagi mengenal pasti kelemahan fizikal supaya tindakan segera dapat diambil, kawalan keselamatan balai dapat diperketat dan meningkatkan rondaan di kawasan balai polis.
“Ke arah memperkukuh tahap keselamatan dan penguatkuasaan di semua premis dan fasiliti milik PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan pasukan petugas bagi mengenal pasti dan melaksanakan proses pengisytiharan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) bagi premis dan fasiliti milik PDRM, khususnya balai polis di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










