Sindiket kaut untung eksploitasi OKU warga asing mengemis - Utusan Malaysia

Sindiket kaut untung eksploitasi OKU warga asing mengemis

M. KUMAR menunjukkan carta aliran sindiket kegiatan pengemis warga asing dalam sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket pemerdagangan manusia mengaut untung dengan mengeksploitasi warga asing yang kurang upaya untuk mengemis di bandar raya ini.

Dua pengemis yang diterbangkan dari luar negara itu mampu meraih kutipan sehingga RM8,000 sebulan setiap seorang apabila meraih simpati orang ramai dengan imej compang-camping dan berkerusi roda sambil menyanyi menggunakan pembesar suara.

Kegiatan sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak April lalu tumpas dalam serbuan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di lokasi berasingan 13 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihak turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 42 hingga 53 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ serta turut menyelamatkan dua lelaki orang kurang upaya (OKU) warga asing berusia 44 dan 50 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan sindiket tersebut.

“Siasatan lanjut yang dijalankan membawa kepada kejayaan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga kepada OKU warga asing dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada 19 Jun lalu. Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengeksploitasi pengemis OKU yang menggunakan kerusi roda bagi meraih simpati orang ramai dengan meminta sedekah sambil menyanyi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas tiga unit telefon bimbit, tiga kereta import, sebuah mikrofon dan pembesar suara serta wang tunai berjumlah RM1,859.

Menurut Kumar, sindiket itu ‘terbang’ ke luar negara bagi mencari individu yang mempunyai kecacatan kekal dan berstatus OKU untuk mengemis di lokasi tumpuan seperti pasar malam, restoran dan medan selera.

Sindiket itu kemudiannya akan mengaturkan untuk membawa individu OKU masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan mereka akan ditempatkan di sebuah rumah sewa yang disediakan.

“Sindiket juga akan menggunakan khidmat ‘transporter’ untuk menghantar ke lokasi tumpuan dan mangsa disyaratkan membayar sebanyak RM800 seminggu untuk urusan pasport dan dikehendaki bekerja selama enam jam sehari. Wang kutipan hasil mengemis dianggarkan antara RM250 hingga RM300 sehari yang akan diserahkan kepada penjaga setiap minggu dan mereka hanya dibayar upah kira-kira RM300 sebulan,” katanya.

Suspek yang berperanan sebagai pengurus telah dituduh di Mahkamah Sesyen pagi tadi dan dikenakan denda RM12,000 setelah mengaku salah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, manakala dua lagi suspek yang merupakan ‘transporter’ telah dikenakan waran tahan dan tangkap oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×