KUALA LANGAT: Setiap lapisan masyarakat perlu dipupuk kesedaran terhadap kebersihan pantai dan rasa cinta kepada keindahannya supaya ekosistem alam sekitar di kawasan peranginan tersebut terpelihara serta boleh berterusan dikunjungi orang ramai.
Ini kerana, penjagaan kebersihan pantai secara tidak langsung membantu memastikan kesejahteraan penduduk setempat, pelancong mahupun haiwan yang di darat atau pun di laut.
Pengerusi Kelab Sukan Dan Rekreasi, Bahagian Pusat Perhubungan Solusi Korporat, AIA Shared Services Berhad, Muhammad Khaidir Adzim berkata, penjagaan kebersihan pantai dan tempat peranginan perlu dilakukan berterusan secara sukarela.
Menurutnya, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kali ini memilih untuk membersihkan persekitaran Pantai Morib, Banting yang merupakan antara kawasan tarikan penduduk setempat beriadah bersama keluarga.
“Dengan disertai oleh para pekerja bersama ahli keluarga, program ini juga turut disertai oleh anak anak para pekerja bagi bersama memupuk sifat cintakan alam sekitar terutamanya kebersihan pantai sedari kecil.
“Kami turut mendapat kerjasama dan sokongan dari pengurus dan ketua Bahagian Pusat Perhubungan kami yang turut terlibat dalam membantu kerja-kerja pengumpulan sampah,” katanya.
Dalam pada itu, penasihat program tersebut Marlisa Mardzuki Muhammad Kamarul Adi memberitahu, golongan muda seharusnya didedahkan dengan kepentingan kebersihan pantai dan tempat peranginan dalam memastikan kawasan berkenaan terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Melihat kebersihan dan persekitaran kawasan pantai, kos pembersihan meningkat sekali gus memberi kesan kepada kawasan tumpuan pelancong dan Masyarakat setempat. Sekiranya tidak dikawal selia dengan baik, ia akan mengakibatkan masalah pencemaran dan kesan kepada kesihatan.
“Masalah sampah hanya akan memburukkan keadaan setempat, lebih parah lagi jika tiada kesedaran untuk memelihara kebersihan tempat awam seperti pantai. Seterusnya masalah kebersihan, kesihatan awam serta ekonomi pelancongan setempat akan terganggu,” jelasnya. – UTUSAN










