Pembunuh Dirang kekal digantung, semakan ketepi hukuman mati ditolak

Pembunuh Dirang kekal digantung, semakan ketepi hukuman mati ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pembunuh Nurul Nadirah Abdullah, 4, atau Dirang, kekal digantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya untuk mengetepikan hukuman mati kerana membunuh kanak-kanak itu, 12 tahun lalu.

Pihak pendakwaan menyifatkan kes tersebut terlalu tragis kerana mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur, dibunuh dan dibakar di kebun kelapa sawit.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan hukuman mati terhadap Muidin Maidin, 37, selepas mengambil kira keadaan kes berkenaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan membenarkan bantahan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari terhadap permohonan semakan yang dikemukakannya.

Muidin yang berketurunan Sulu, disabitkan membunuh kanak-kanak itu di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac 2012 dan 12 tengah malam 2 Mac 2012.

Naratif pendakwaan menyatakan, sebelum perlakuan itu, mangsa diumpan dengan gula-gula strawberi dan dibawa ke arah kebun berkenaan.

Terdahulu, Mohd. Amril membantah semakan itu sambil menyifatkan kejadian berkenaan terlalu kejam dan tragis sehingga mendapat liputan meluas pihak media ketika itu.

“Kejadian yang menimpa adik Dirang pada 2012 telah menaikkan rasa marah dan dukacita rakyat Malaysia apabila seorang kanak-kanak perempuan yang sepatutnya dibantu dan dilindungi, diperlakukan sedemikian rupa.

“Terdapat juga kesan profil asid deoksiribonukleik (DNA) milik pemohon dalam vagina (kemaluan) dan dubur mangsa,” kata Mohd. Amril.

Sementara itu peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili Muidin memohon mahkamah membenarkan semakan kerana anak guamnya telah insaf dan banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan sejak berada di dalam penjara pada 2012.

“Pemohon yang menghidap asma memohon hukuman mati diketepikan dan jika mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum 40 tahun sekalipun, dia akan terima,” ujar peguam.

Dirang dilaporkan hilang 1 Mac 2012 ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang ditemukan di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac 2012 adalah milik mangsa. 

Naratif pendakwaan menunjukkan mangsa ditekup mulut dan tekak hingga lemas dan tidak bernyawa manakala mayatnya cuba dilupuskan dengan cara membakarnya di rumah terbengkalai.

Pada 28 Jun 2013, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor mensabit dan menjatuhkan hukuman gantung terhadapnya.  Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Disember 2014 dan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada  28 Mei 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×