JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini membongkar kegiatan sindiket yang membawa, membekal dan menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran dalam Op Sita ke sebuah pejabat di Permas Jaya.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam serbuan pukul 2 petang Khamis lalu, pihaknya menahan tiga warga Pakistan berusia 28 hingga 50 tahun hasil risikan selama enam bulan selepas menerima aduan daripada orang awam tentang aktiviti warga asing berkenaan.
“Suspek utama berusia 28 tahun mendakwa mempunyai dua orang isteri warga Malaysia. Siasatan awal mendapati syarikat telah didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan yang dipercayai isteri keduanya, namun syarikat tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, dua lelaki Pakistan yang ditahan mengaku telah membayar sejumlah RM7,000 untuk memperoleh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada warga Pakistan itu mengaku suspek utama berusia 28 tahun adalah majikannya,” katanya.
Sindiket tersebut dipercayai membawa, membekal dan menggaji pekerja asing secara tidak teratur dan tanpa kebenaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (tanpa Lesen C).
Semasa serbuan berkenaan, beberapa paspot dan pas lawatan kerja sementara turut ditemukan. – UTUSAN










