Guru disiplin didakwa tampar muka pelajar dalam bilik guru

Guru disiplin didakwa tampar muka pelajar dalam bilik guru

TERTUDUH diiring anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menampar muka pelajarnya beberapa kali dan menarik rambut mangsa. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menampar muka pelajarnya beberapa kali dan menarik rambut mangsa dalam bilik guru sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Heirman Ishak, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang menjawat jawatan sebagai guru disiplin didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang pelajar lelaki yang ketika kejadian berusia 17 tahun dengan cara menampar muka beberapa kali dan menarik rambut mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 11.30 pagi di bilik guru sebuah sekolah menengah dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Disember 2022.

Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas pelajar terbabit berjumpa dengan tertuduh di bilik guru untuk meminta kunci bilik multimedia kerana ingin mengambil botol minumannya yang tertinggal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Nor Azri Mohd. Arif memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat di sekolah sama dengan pendapatan RM7,000 sebulan dan perlu menanggung dua anak masih belajar serta ibu berusia 70 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×