Kembalikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Kembalikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

SEWAJARNYA Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dikekalkan dan tidak pun digantikan Dasar Kebudayaan Negara 2021 yang memberi gambaran bahawa negara ini bersifat majmuk sepenuhnya tanpa ada tuannya langsung. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pihak tertentu dalam etnik Melayu sendiri yang mahu Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang digubal pada 1971 diteliti semula. Ini kerana sebagai dokumen induk kebudayaan negara, ia didakwa sebagai bukan sahaja tidak mencerminkan kepelbagaian budaya di negara ini. Juga ia dituduh sebagai tidak menghormati maruah etnik bukan Melayu-Islam. Selain ini, DKK juga dipersalah kerana menyebabkan ketegangan kaum selama ini.

Ini kerana pada pandangan pihak itu, DKK hanya mengangkat warisan Melayu-Islam sebagai tunjang kebudayaan negara. Dalam pada ini, warisan bukan Melayu-Islam yang bercanggah dengan amalan Melayu dan ajaran Islam tidak dibenarkan ikut dijadikan warisan tanah air. Struktur sebegini dicema pihak itu sebagai sudah lapuk pada masa ini dan haruslah segera digantikan dengan satu dokumen yang jauh lebih inklusif sifatnya.

Sebenarnya DKK 1971 itu tidak diguna pakai lagi. Ia sudah digantikan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) pada 2021 tidak secara jitu, malah tidak berpaksikan DKK 1971 itu lagi. Sebaliknya, ia mahu sama-sama melestari dan mengekspresi semua warisan budaya. Dengan ini, DKK yang walaupun diakui dirujuki semasa menggubal DAKEN, sebenarnya tiada lagi tempatnya secara signifikan dalam DAKEN, baik secara tersirat, apatah lagi secara tersurat.

Ini kerana penggubalan DAKEN bersifat bebas dalam bentuk kebersamaan, keterbukaan, keterangkuman, semangat kebangsaan dan kemenyeluruhan yang tidak lagi terkait kepada hanya etnik Melayu-Islam. Malah etnik asal ini langsung tidak disebut namanya seperti pada DKK itu. Ia hanya boleh dikaitkan secara samar-samar melalui ungkapan “berteraskan kebudayaan rakyat tempatan” yang tidak pun persis Melayu-Islam pada maknanya yang sebenar.

Sewajarnya DKK 1971 dikekalkan dan tidak pun digantikan DAKEN 2021. Ini kerana DKK itu adalah punca kuasa selain rujukan utama citra budaya negara ini yang merupakan negara Melayu-Islam. Walaupun begitu kekuasaannya, etnik bukan Melayu-Islam tidak pernah pun sesekali disekat daripada dibenarkan mengamalkan warisan tradisi masing-masing, baik dalam kehidupan nasional, apatah lagi kehidupan domestik dan komuniti.

DAKEN sebaliknya memberi gambaran bahawa negara ini bersifat majmuk sepenuhnya tanpa ada tuannya langsung. Ini mungkin dilakukan untuk bukan sahaja menjamin, juga mengukuhkan keharmonian masyarakat yang penting untuk perpaduan negara, melalui pelestarian dan ekspresi pelbagai warisan etnisiti di Malaysia.

Sesungguhnya keharmonian ini masih dapat terus dilakukan, malah dengan lebih terarah lagi, apabila adanya peringatan yang selalu menegaskan bahawa Malaysia ialah negara Melayu-Islam.
Dengan ini, tatasusila, tatacara dan segala macam yang seumpamanya tentang kebudayaan negara hendaklah bertonggakkan amalan Melayu dan ajaran Islam.

Bukan sahaja ia harus begitu, juga dinyatakan secara jitu lagi tegas seperti yang dilakukan pada DKK. Ia tidak boleh seperti dalam DAKEN yang langsung tidak menyatakannya.
Ini kerana pernyataan umum sebegitu pada DAKEN akan membina naratif bahawa Malaysia negara majmuk yang mengamalkan multikulturalisme yang sama sekali tidak betul. Sebaliknya Malaysia adalah negara Melayu-Islam di mana etnik bukan Melayu-Islam bukan sahaja dibenarkan dapat hidup dengan aman damai, malah dijamin sebegitu tentang amalan dan anutan masing-masing.

Sepatutnya etnik Melayu-Islam Malaysia kesemuanya wajib mempunyai jati diri posesif kuat seperti yang ada pada kelompok asal di segenap tempat lain di seantero dunia. Sehubungan ini, ia adalah jiwa pemilikan negara sendiri sebagai naluri yang tidak boleh sesekali dikongsikan dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi dikesampingkan dengan mudah sekali oleh sesiapa sahaja.

Sebenarnya DKK 1971 itu memperlihat jiwa dan naluri yang dimaksudkan itu.

Meskipun begitu, ia tidak sesekali bersifat cauvinis Melayu-Islam, apatah lagi rasis terhadap etnik bukan Melayu-Islam. Sebaliknya ia fitrah yang memang pun sebegitu di mana-mana tempat pun, iaitu keperluan aspirasi penduduk asal bukan sahaja dihormati, juga dipertahan dari segenap segi.

Sebetulnya ungkapan Melayu-Islam tidak perlu pun diangkat secara berulangan dalam setiap hal. Namun ia harus terus dilakukan kerana kini terdapat terlalu banyak pihak, termasuklah etnik Melayu-Islam sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu-Islam, yang didapati sudah lupa tentang fakta yang sudah terang lagi bersuluh ini. Ia tidak lain tidak bukan bahawa negara ini adalah negara Melayu-Islam dan mengakomodasikan etnik bukan Melayu-Islam di dalamnya dengan penuh keadilan.

Oleh itu, ia wajib bukan sahaja terus-terusan diulangi. Juga ia wajib dikembalikan kepada status quo ini untuk kebudayaan negara dan lain-lain. Ini kerana tindakan sedemikian didapati telah banyak mencairkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat dalam konteks Malaysia adalah politi, yakni pemerintahan dari segi perlembagaannya ialah Melayu-Islam.

Sewajarnya tidak boleh ada seorang pun etnik Melayu yang bersifat liberal dalam hal primordial mereka. Ini kerana ia akan diambil kesempatan oleh pihak yang mahu meliberalkan sentimen pada dasar Melayu-Islam itu. Lebih mudarat lagi ialah ia akan menafikan seluruh sejarah etnik Melayu-Islam di tanah watannya sendiri. Sesungguhnya etnik Melayu harus lebih pintar untuk tidak sesekali bertoleransi dengan liberalisasi sedemikian dan lain-lain yang seumpamanya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×