NIBONG TEBAL : Wakil rakyat Sungai Bakap yang baharu, Abidin Ismail tidak berkecil hati apabila ada pihak yang masih mempertikaikan isu kesahihan sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO 14001) yang dimilikinya walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu telah berakhir.
Abidin atau lebih dikenali sebagai Abang Bidin berkata, pada masa ini, dia lebih menumpukan perhatian untuk menjalankan tugas serta berkhidmat kepada pengundi yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.
“Saya tak kecil hati (isu ISO). Mereka main isu ISO, bukan satu isu buat saya. Saya tidak nafikan, pencapaian akademi adalah kebaikan untuk individu tetapi kerja untuk masyarakat ini, ia bukan satu tugas berdasarkan akademik semata-mata. Ia atas pengalaman.
“Kadang-kadang buat kerja ni, atas naluri, bukan atas satu lakonan. Saya sudah biasa berkhidmat untuk rakyat sebab dari dulu lagi (ketika berkhidmat sebagai Pemuda Pas), kita dah banyak buat kebajikan contohnya jika ada bencana, kita akan turun,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Sungai Bakap, di sini hari ini.
Terdahulu iaitu ketika berkempen sempena PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal dilaporkan telah membuat penjelasan terbuka mengenai kesahihan sijil ISO berkenaan.
Mengulas lanjut, Abidin berkata, khidmat kepada masyarakat tidak sepatutnya diukur dengan latar belakang akademik, sebaliknya, keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab itu lebih penting.
“Tuhan tak bagi semua sama rata sebab kita saling memerlukan. Kalau semua cerdik, pandai, siapa nak jadi yang bawah? Kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
“Saya rasa perbandingan dalam isu akademik ni, tidak perlu. Saya tidak ada masalah. Memanglah, pihak lawan ni, dia nak jatuhkan kita, dia akan main isu-isu macam ini. Tiada masalah bagi saya, bukan isu. Yang penting, amanah dengan Tuhan, buat kerja,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, tugasnya juga telah bermula secara rasmi sebaik sahaja dirinya diumumkan sebagai wakil rakyat baharu yang dipilih oleh pengundi Sungai Bakap.
“Sebelum ini lagi pun saya telah berkhidmat kepada rakyat di Sungai Bakap. Cuma, sekarang ini tugas sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) telah bermula (secara tidak rasmi) dan segala masalah rakyat akan cuba kita selesaikan.
“Saya cuma menyambung perkhidmatan dan legasi Allahyarham Nor Zamri Latiff (bekas ADUN) di Sungai Bakap,” katanya.-UTUSAN










