Jangan langgar hukum syarak cari dua pencari siput

Jangan langgar hukum syarak cari dua pencari siput

ANGGOTA Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja, Taiping dan sukarelawan menyertai pencarian dua lelaki hilang di hutan paya bakau Sungai Tuntung Pantai Remis semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Ahli keluarga dan penduduk kampung di lokasi dua pencari siput belitung yang hilang sejak 18 Jun lalu meminta pihak yang membantu usaha pencarian mangsa tidak menggunakan kaedah bertentangan agama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana mereka mendakwa terdapat segelintir paranormal dan pengamal perubatan tradisional menggunakan kaedah seperti penyembahan, pemujaan, pulut kuning dan menyembelih ayam hitam di lokasi pencarian.

Pencari siput, Yahya Harun, 55, dan Azman Mat Jaab, 61, hilang pada 18 Jun lalu selepas kedua-duanya memasuki hutan paya bakau itu melalui Sungai Tuntung dan hanya motosikal mereka yang ditemui di lokasi tersebut.

Seorang penduduk, Ghani Ahmad, 61 berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak atau individu atau kumpulan sukarelawan yang mahu membantu.

Namun, katanya, apa yang dikesalkan ada di antara mereka iaitu paranormal dan pengamal perubatan menggunakan kaedah seperti membawa peralataan pemujaan, melakukan penyembahan termasuk membawa pulut kuning, bertih dan membakar colok.

“Ahli keluarga dan penduduk kampung tidak tahu mereka menggunakan kaedah sedemikian kerana tidak dimaklumkan.

“Kami memang mengalu-alukan sesiapa yang mahu membantu usaha mencari tetapi perlu beritahu dahulu keluarga mangsa dan orang kampung apa bantuan yang hendak diberikan atau kaedah-kaedah perubatan yang hendak hendak dijalankan supaya tidak bertentangan dengan hukum syarak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Anuar Saad, 44, berkata, mereka bukan menolak bantuan daripada paranormal atau pengamal perubatan tradisional tetapi lebih elok jika berjumpa dengan ahli keluarga mangsa yang hilang.

“Jangan buat aktiviti ritual pemujaan kerana kami ada terjumpa pelbagai alat yang digunakan untuk pencarian seperti penggunaan telur ayam dan ayam disembelih kononnya sebagai pertukaran dengan makhluk ghaib supaya dua individu yang hilang itu dapat dipulangkan.

“Ini semua perbuatan syirik yang boleh mendatangkan fitnah kepada waris-waris mangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini