Malaysia mengalami penurunan tujuh anak tangga kepada kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024. Menurut laporan International Institute for Management Development (IMD), Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking tersebut. Dalam rantau Asia Tenggara, Malaysia kini berada di kedudukan yang lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) namun masih lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).
Makroekonomi Malaysia
Pada peringkat makro, Malaysia mencatatkan prestasi baik dalam beberapa bidang. Antaranya, Malaysia menduduki tempat kedua dari segi harga, ke-10 dalam infrastruktur asas, dan ke-11 dalam dasar cukai. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan ketara yang memerlukan perhatian. Malaysia kurang berdaya saing dalam bidang pendidikan (ke-44), perundangan perniagaan (ke-50), dan produktiviti serta kecekapan (ke-53).
Menurut IMD, cabaran utama yang perlu diatasi oleh negara termasuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengukuhkan daya tahan perniagaan.
Malaysia juga perlu mengoptimumkan pasaran buruh untuk memaksimumkan produktiviti tenaga kerja, serta mengemas kini dasar dan peraturan untuk meningkatkan daya saing global. Selain itu, negara perlu memanfaatkan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti negara. Peningkatan kos operasi juga merupakan satu lagi cabaran penting yang perlu diatasi.
Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan konteks global yang berubah untuk mencipta nilai dan kesejahteraan untuk rakyat. Dalam konteks perubahan global yang pantas dan dinamik, Malaysia perlu mengadaptasi strategi yang berkesan untuk kekal relevan. Perubahan global ini meliputi perkembangan teknologi, perubahan iklim, dinamika ekonomi global dan perubahan dalam pola perdagangan antarabangsa.
Oleh itu, Malaysia perlu bangkit dan mengambil langkah-langkah yang perlu dengan menyesuaikan diri dengan perubahan global untuk meningkatkan daya saing negara.
Teknologi Baharu
Data menunjukkan hanya 20 peratus syarikat di Malaysia menggunakan teknologi digital secara meluas, berbanding Singapura yang mencapai 55 peratus. Untuk mengatasi jurang ini, kerajaan perlu menyediakan insentif kewangan dan sokongan infrastruktur yang mencukupi. Selain itu, pendidikan dan latihan dalam bidang teknologi baharu perlu diperkasakan untuk memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi terkini.
Pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Menurut data, Malaysia hanya membelanjakan 1.06 peratus daripada KDNK untuk R&D, jauh lebih rendah berbanding Korea Selatan (4.53%) dan Jepun (3.28%).
Kerajaan perlu meningkatkan peruntukan untuk R&D dan menyediakan insentif yang menarik untuk sektor swasta melabur dalam bidang ini. Di samping itu, kerjasama antara universiti dan industri perlu diperkukuhkan. Universiti-universiti harus menjadi pusat inovasi di mana penyelidikan dapat diterjemahkan kepada produk dan perkhidmatan komersial. Dengan cara ini, Malaysia dapat membina ekosistem inovasi yang kukuh dan berdaya saing.
Dasar dan Perundangan
Malaysia berada di kedudukan ke-50 dalam perundangan perniagaan, yang menunjukkan banyak ruang untuk penambahbaikan. Kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh terhadap peraturan sedia ada dan membuat penyesuaian yang perlu untuk menjadikannya lebih mesra perniagaan.
Proses birokrasi yang rumit dan membebankan perlu dikurangkan untuk mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek. Langkah-langkah seperti penambahbaikan sistem pentadbiran dan penerapan e-government boleh mengurangkan birokrasi pentadbiran. Selain itu, peraturan perlu lebih fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan dalam model perniagaan. Dengan cara ini, Malaysia dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan berdaya saing.
Tingkat kecekapan operasI, kurangkan kos
Data menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-53 dalam produktiviti dan kecekapan. Kerajaan perlu menyediakan insentif untuk syarikat-syarikat yang mengamalkan teknologi hijau dan pengurusan mampan. Selain itu, amalan-amalan terbaik dalam pengurusan perlu diperkenalkan dan dipromosikan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan.
Potensi Pasaran Baharu
Pasaran baharu muncul seperti China, India, Brazil, Indonesia dan Türkiye telah mengalami pertumbuhan dan pembangunan pesat dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Malaysia perlu memanfaatkan potensi pasaran ini untuk meningkatkan daya saingnya.
Kerajaan dan syarikat tempatan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya, institusi dan kawal selia mengikut pasaran yang berbeza. Malaysia juga perlu mengeratkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara tersebut. Produk dan perkhidmatan perlu disesuaikan dengan keperluan dan kehendak pasaran-pasaran baru ini. Dengan cara ini, Malaysia dapat meningkatkan eksport dan memperluaskan pasaran untuk produk dan perkhidmatan tempatan.
Kualiti Pendidikan
Data menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-44 dalam bidang pendidikan dan terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Kerajaan perlu sentiasa menilai semula kurikulum pendidikan untuk memastikan ia relevan dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi. Dengan sistem pendidikan yang berkualiti, Malaysia dapat membina modal insan yang berdaya saing dan inovatif.
Malaysia perlu bangkit dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyesuaikan diri dalam cabaran ekonomi global. Penggunaan teknologi baharu, pelaburan dalam R&D, pengoptimuman pasaran buruh, kemas kini dasar dan perundangan perniagaan, peningkatan kecekapan operasi, penyesuaian dengan perubahan iklim, memanfaatkan potensi pasaran baharu, menyediakan infrastruktur yang berkualiti, dan meningkatkan kualiti pendidikan adalah langkah-langkah penting yang perlu di tambah baik.
Dengan strategi yang komprehensif dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, Malaysia mampu memperbaiki kedudukan daya saingnya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










