PETALING JAYA: Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) dalam Pertandingan Sekolah Sihat AIA dan menerima hadiah berjumlah AS$100,000 (RM472,100) yang berlangsung di Bali, Indonesia, semalam menjadi inspirasi kepada sekolah lain untuk terus berinovasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengucapkan tahniah kepada sekolah berkenaan yang menewaskan 2,300 sekolah dari seluruh Asia Pasifik untuk muncul juara.
Katanya, ia bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah menjadi pendorong semangat untuk sekolah lain mengembangkan bakat dan kreativiti sehingga di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan saja mengharumkan nama sekolah, tetapi juga menjadi inspirasi kepada semua sekolah lain untuk terus berinovasi demi kesejahteraan pelajar,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Katanya, sekolah berkenaan memenangi anugerah itu menerusi rekaan inovatif sebuah aplikasi mudah alih kesihatan iaitu HELPIE, bertujuan meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar.
“Aplikasi berkenaan menyediakan alat untuk mengenal pasti dan mengurus tekanan serta dilengkapi permainan dan kempen kesihatan yang menarik.
“Kejayaan ini bukan saja mengharumkan nama sekolah, tetapi juga menjadi inspirasi kepada semua sekolah lain untuk terus berinovasi demi kesejahteraan pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. – UTUSAN










