Tiada lagi gelak ketawa, gurau senda Hafiz

Tiada lagi gelak ketawa, gurau senda Hafiz

ABD. Halid Sugiman (duduk) membaca talkin tanda penghormatan terakhir untuk Hafiz Fauzan yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Rakan kepada Hafiz Fauzan Abd. Halid yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam kebun durian di sini, tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata apabila kehilangan sahabat buat selama-lamanya.

Mohd. Iman Danial Mohd. Fauzan, 17, berkata, sudah tiada gurau senda dan gelak ketawa Hafiz Fauzan selepas ini.

“Kami cukup merinduinya. Kami tidak pernah berhenti mencarinya selepas dia dilaporkan hilang pada akhir Mei lalu,” katanya semalam.

Mohd. Iman berkata, Allahyarham sangat aktif dan menjadi antara tonggak utama pasukan bola sepak dan kumpulan nasyid Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Dia bersama beberapa rakan-rakan Allahyarham turut membantu urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Batu 7, Tongkang Pechah di sini, semalam sebagai khidmat terakhir buat sahabat mereka.

Hafiz Fauzan dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak.

Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemukan orang awam di celah pokok dalam kebun durian di Jalan Yong Peng-Muar pada 25 Jun lalu.

Semalam, polis mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sepadan dengan ibu bapa Hafiz Fauzan.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pengkebumian jenazah Hafiz Fauzan semasa bapanya, Abd. Halid Sugiman membaca talkin sebagai tanda kasih kepada anaknya yang dijemput Ilahi buat selamanya.

Abd. Halid, 44, dengan nada tenang mengucapkan selamat tinggal buat selamanya dan mendoakan roh anak keti­ganya daripada tujuh beradik itu tenang serta dicucuri rahmat.

“Selamat tinggal wahai ­anakku, Hafiz Fauzan bersemadilah engkau dengan tenang di sisi Allah SWT,” ucapnya ketika membaca talkin ketika majlis pengkebumian Allahyarham.

Ungkapan itu mengundang sebak dalam kalangan saudara-mara dan kenalan yang hadir memberi penghormatan ter­akhir dalam upacara pengkebumian pelajar tingkatan lima SMA Parit Raja itu.

Dalam pada itu, Abd. Halid yang juga guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayung berkata, perasaan rindu dan kasih tidak pernah hilang biarpun jasad Hafiz Fauzan sudah tiada di depan mata.

“Pencarian selama sebulan (Hafiz Fauzan) telah ditemukan biarpun jasad sudah tiada tapi perasaan rindu dan kasih tak pernah kurang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×