Warga Thailand ditahan cuba seleweng 400 liter petrol - Utusan Malaysia

Warga Thailand ditahan cuba seleweng 400 liter petrol

KENDERAAN pikap dipandu suspek yang diubah suai dan dipasang tangki tambahan ketika ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki Thailand berusia awal 30-an ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki cuba menyeleweng kira-kira 400 liter minyak petrol di Bukit Kayu Hitam, dekat sini kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, suspek yang ditangkap kira-kira pukul 3 pagi itu kini direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap pikap bernombor pendaftaran asing dipandu suspek mendapati kenderaan tersebut dipercayai telah diubah suai dan dipasang beberapa tangki tambahan.

“PGA menyerahkan rampasan dan suspek kepada pasukan penguat kuasa KPDN Kedah. Bahan api yang disyaki petrol itu dianggarkan berjumlah 400 liter dimuatkan dalam tangki tambahan kenderaan tersebut.

“Satu tangki kecil bagi mengisi diesel turut diubah suai dan dipasang di bahagian enjin bagi menggerakkan kenderaan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Nizam, sitaan terhadap petrol yang merupakan barang kawalan itu dianggarkan bernilai RM820 manakala nilai kenderaan dirampas kira-kira RM60,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan kesalahan individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak lebih RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang dilakukan syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta) dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kes ini juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613],” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×