Enam laporan berkait kes cermin kereta dipecah di LRT Awan Besar - Utusan Malaysia

Enam laporan berkait kes cermin kereta dipecah di LRT Awan Besar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis setakat ini menerima enam laporan polis berhubung kes cermin kereta dipecahkan di tepi jalan kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 9.20 pagi, Selasa lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua enam kereta tersebut telah diletakkan oleh pemilik kenderaan pada 1 Julai pada pukul 3 petang di lokasi kejadian.

“Beberapa bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kejadian ini.

“Polis Cheras tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang gagal mematuhi undang-undang negara dan tindakan tegas akan diambil agar masyarakat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan tenteram.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” ujarnya.

Terdahulu, tular video menunjukkan beberapa cermin kenderaan yang diparkir di kawasan LRT Awan Besar dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×