KOTA BHARU: Sepasang suami isteri dan syarikat perniagaan yang dikendalikan oleh mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menyimpan lebih 15,000 liter minyak diesel bernilai lebih RM34,000 tanpa lesen, kira-kira dua tahun lalu.
Tan Kim Soon, 35, dan isterinya, Koh Sze Yuen, 34, membuat pengakuan itu
di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh selaku orang kena saman (OKS) yang merupakan pengarah syarikat Heng Seng & Company Sdn. Bhd. didakwa memiliki minyak diesel berjumlah 15,979 liter dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.
Perbuatan itu melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa memiliki lesen.
Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di depan Stesen Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Laloh, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada 7 Ogos 2022.
Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat Heng Seng & Company turut didakwa atas kesalahan sama mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2 juta sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Dahlia Tan.
Terdahulu, Wan Mohd I’zzat mencadangkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dihadapi pasangan suami isteri itu dan syarikat mereka.
Cadangan itu turut disertai syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat KPDN Petaling Jaya setiap bulan.
“Mahkamah perlu mempertimbangkan permohonan jaminan tersebut kerana ia berkait rapat dengan ketirisan diesel yang berlaku dan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.
Dahlia dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah dengan mengambil kira pendapatan syarikat selain tidak membantah syarat tambahan yang dikenakan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM40,000 kepada Kim Soon dan syarikatnya, manakala RM30,000 untuk Sze Yuen dengan seorang penjamin.
Selain itu, kedua-dua OKS perlu melapor diri di KPDN Petaling Jaya setiap bulan. Mahkamah menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pasangan suami isteri itu membayar wang jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










