MELAKA: Seorang kerani firma guaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan kepada kenalannya untuk membuat laporan polis palsu bagi tuntutan kemalangan jalan raya, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, R. Selvarajah, 59, mengaku tidak bersalah sejuruh pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi satu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Abdul Karim Mohamad sebagai dorongan membuat laporan polis palsu pada 11 Mei 2017.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah antara 10 dan 31 Mei 2017.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali manakala pasport diserah kepada mahkamah.
Peguam Nahdan Regganathan Abdullah merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung seorang anak yang masih bersekolah dan isteri penghidap kanser.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 13 Ogos ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN










