PARLIMEN: Malaysia tegas tidak benar syarikat milik Israel jalan aktiviti

PARLIMEN: Malaysia tegas tidak benar syarikat milik Israel jalan aktiviti

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tegas dengan pendirian tidak membenarkan syarikat milik Israel menjalankan aktiviti di negara ini. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri tegas dalam soal itu dan ia dibuktikan apabila menyekat syarikat perkapalan ZIM milik Israel daripada berlabuh di negara ini sejak Disember 2023. 

Katanya, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri juga tidak jemu berbicara dan menyuarakan gesaan kepada pemimpin dunia agar segera dihentikan kekejaman rejim Israel terhadap Palestin selain konsisten menyalur bantuan ke wilayah berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun kita tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara kita, tetapi tidak untuk syarikat milik Israel,” katanya pada sesi penerangan Kamar Khas di Dewan Rakyat berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Insfrastructure Partners (GIP).

Terdahulu, Amir Hamzah berkata,  kerajaan tidak menjual saham MAHB dan hakikatnya Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli saham itu bagi mengukuhkan pegangan mereka daripada 41 peratus kepada 70 peratus. 

Selain itu, beliau menjelaskan, pengurusan MAHB tidak akan diambil oleh warga asing dan ia kekal dikawal kerajaan dari segi milik lapangan terbang, aspek keselamatan dan pengurusan.

“Seterusnya, lapangan terbang Malaysia sudah ketinggalan berbanding negeri serantau dan cadangan mengambil alih MAHB oleh konsortium ini adalah dengan hasrat akhir untuk menyediakan lapangan terbang terbaik buat rakyat dan penumpang.

“Malah, penglibatan GIP hanya sebagai pelabur dan rakan teknikal yang beri khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran mereka dalam meningkatkan tahap kecekapan lapangan terbang,” katanya. 

Tambah beliau, tuduhan orang asing akan mengambil alih lapangan menguasai lapangan terbang negara tidak benar kerana semua lapangan terbang negara kekal milik kerajaan sementara MAHB berperanan sebagai operator atau pengendali lapangan terbang. 

“Kerajaan juga terus memegang saham khas dalam MAHB. Berdasarkan hak saham khas, hanya kerajaan yang mempunyai kuasa untuk melantik Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB serta bahkan, kedua-duanya mesti warganegara Malaysia.

“Selari hasrat perjanjian konsortium, pengurusan MAHB tidak sama sekali diserahkan kepada rakan kongsi konsortium asing maka tiada asa dakwa warga asing ambil alih MAHB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×