TUMPAT: Seorang penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan 550 liter minyak petrol selepas kereta yang digunakan untuk kegiatan tersebut terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kampung Bunohan, di sini semalam.
Terdahulu, suspek telah bertindak melarikan diri sejauh 7 kilometer (km) selepas kereta jenis Proton Preve yang dinaikinya dikejar oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, semasa melakukan rondaan rutin sepasukan anggota bertugas telah berjaya mengesan sebuah kereta yang sedang diparkir di Kampung Pak Keral di sini selepas menerima maklumat risikan.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian telah menghampiri kereta tersebut untuk membuat pemeriksaan lanjut.
“Suspek yang menyedari kehadiran anggota bertugas terus berindak melarikan diri dengan memecut laju keretanya menghala ke Kampung Bunohan.
“Setiba di lokasi kereta yang dipandu suspek hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Kampung Bunohan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, suspek terus bertindak melarikan diri sehingga gagal dikesan oleh anggota penguat kuasa.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan bahan bakar petrol bernilai RM1,127.50 dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN









