Penilaian kerosakan peralatan sekolah akibat banjir sedang dilakukan

Penilaian kerosakan peralatan sekolah akibat banjir sedang dilakukan

MOHD. Arifin Mohd. Arif (dua kanan) bersama Raisin Saidin (dua kiri) semasa melawat SM St Michael, Penampang yang terjejas banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri akan membuat penilaian kerosakan harta benda sekolah yang terkesan akibat bencana banjir di Penampang dan beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, beliau akan mencari jalan untuk membantu sekolah-sekolah terlibat dengan memohon bantuan daripada Kementerian Pendidikan atau kerajaan negeri.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin bagi melihat keperluan mendesak di sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir Ahad lalu.

“Anggaran perbelanjaan akan diminta daripada sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kemudian pengarah akan mengemukakan perincian perbelanjaan yang diperlukan.

“Pengarah Pendidikan antara ahli jawatankuasa Tabung Pendidikan Sabah yang dipengerusikan oleh saya dan seperti diarahkan oleh Ketua Menteri untuk melihat keadaan sekolah yang terkesan akibat banjir di sini.

“Ada empat sekolah yang terjejas dan kita akan mencari jalan untuk membantu sekolah-sekolah yang terlibat khususnya dari segi peralatan yang rosak seperti almari, meja dan sebagainya,” katanya semasa lawatan ke Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang.

Pada Isnin, 10 buah sekolah di kawasan terjejas banjir ditutup bagi kerja-kerja pembersihan dan ia adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud; Sekolah Menengah (SM) ST Michael, SK ST Thresa Inobong, SK Kibabaig, SK ST Joseph dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min di Penampang; SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa Tenghilan  Tuaran; SJKC Sin Boon Sindumin, Sipitang serta SK Kelatuan, Papar.

Semalam, dua lagi tambahan sekolah ditutup akibat banjir di Tuaran iaitu SK Bawang dan SK Lingga Baru.

Sementara itu, Raisin berkata, ketika ini kerja-kerja pembersihan di sekolah-sekolah terjejas banjir sedang dilakukan.

“Kita lihat ada pihak luar yang datang menawarkan bantuan dalam bentuk tenaga manusia. Kita faham apabila banjir berlaku agensi lain turut terlibat maka, penting untuk kita memberi tumpuan kepada organisasi masing-masing dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Mengenai sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka, Tawau yang terbakar baru-baru ini, beliau berkata, proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) masih berjalan seperti biasa dan 66 murid terjejas telah ditempatkan di bilik khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×