SHAH ALAM: Banjir yang ‘menenggelamkan’ Seksyen 25 menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda mengalami kerosakan kelengkapan pengajaran dan pembelajaran dianggarkan mencecah RM2.5 juta.
Pengetua sekolah berkenaan, Datuk M. Magendran berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil pemeriksaan pegawai bahagian pengurusan aset Kementerian Pendidikan (KPM) minggu lalu.
“Pemeriksaan pihak saya dan mereka mendapati beberapa aset sekolah seperti komputer, komputer riba, almari, alat muzik dan lain-lain rosak dan tidak boleh dipakai.
“Malah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ada buat lawatan di sini minggu lalu bagi melihat sekolah ini,” katanya ketika ditemui di SMK Taman Sri Muda.
Menurutnya, pihak kementerian masih membuat pemeriksaan kelengkapan di beberapa buah sekolah termasuk di Taman Sri Muda yang terjejas sebelum membuat keputusan bagi menggantikan aset yang rosak.
Magendran berkata, pihaknya akan terus menggunakan kelengkapan yang masih selamat untuk sesi pembukaan sekolah yang dijadual pada 10 Januari ini.
“Boleh dikatakan lebih 90 peratus kerja pembersihan kawasan sekolah serta aset telah selesai, justeru kami boleh meneruskan persekolahan pada Isnin depan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.
“Walaupun banyak kelengkapan yang rosak seperti meja, buku, peralatan elektrik dan sebagainya, namun kita tak mahu menangguhkan persekolahan terutama takwim pembelajaran murid Tingkatan 5 kerana hanya tiga daripada 35 bilik darjah yang terjejas,” jelasnya.- UTUSAN











