PETALING JAYA: Bekas raja pecut Asia Tenggara ,Nazmizan Muhammad mahu melihat Mohamed Azeem Fahmi diberikan tiket wildcard untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Nazmizan, Azeem merupakan pilihan yang jelas untuk diberikan slot berdasarkan pencapaian dan prestasinya dalam acara 100 meter (m).
“Bagi saya tidak perlu untuk bahaskan siapa yang layak untuk mendapatkan slot Wildcard, sudah semestinya Azeem yang lebih layak kerana kita sendiri tahu kredibiliti Azeem.
“Meskipun Shereen (Samson Vallabouy) mempunyai prestasi baik dalam acara 400m,, saya percaya pemilihan harus berdasarkan acara yang ditawarkan oleh Olahraga Dunia, iaitu 100m,” jelasnya.
Menurut Nazmizan, Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan (10.09 saat) memiliki kelebihan kerana hanya acara 100m, 800m dan maraton boleh diberikan tiket ke Paris.
“Saya juga membandingkan situasi ini dengan kes-kes terdahulu di mana atlet yang layak untuk acara tertentu harus dipilih berdasarkan kepakaran mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek menyatakan pandangan yang berbeza dengan lebih cenderung memilih, Shereen untuk diberikan slot wildcard.
Watson berkata, Shereen lebih berhak meraih slot itu kerana atlet 400m mempunyai catatan masa yang lebih konsisten berbanding Azeem pada tahun ini.
“Bagi saya, Shereen lebih layak diberikan slot Wildcard kerana saya menilai dari masa yang dicatatkan, Shereen lebih konsisten masa yang dicatatkan berbanding Azeem,” kata Watson.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka akan membuat keputusan tentang pemilihan atlet Wildcard ke Olimpik Paris pada hari ini.










