PONTIAN: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Terus, Kayu Ara Pasong dekat sini mendakwa mengalami gangguan bunyi bising dari sebuah kilang membuat acuan konkrit rumah pasang siap yang beroperasi sehingga tengah malam.
Mereka mendakwa pengurusan kilang tersebut memungkiri janji semasa perjumpaan dengan penduduk pada bulan puasa lalu untuk memberhentikan operasi bermula pukul 10 malam.
Mahmud Johari, 70, berkata, dalam perjumpaan itu, tiga perkara telah dipersetujui bersama antara penduduk dan pengurusan kilang bagi menjaga keharmonian masyarakat setempat termasuk tiada kerja dilakukan selepas pukul 10 malam.
Malah, dakwanya, ada masanya kilang beroperasi sehingga pukul 1 pagi hingga menimbulkan kemarahan penduduk.
“Kami tidak menghalang mereka membuka industri di kampung ini tetapi hormatlah sikit orang tua, kanak-kanak dan bayi yang nak tidur pada waktu malam, esok kami nak bekerja dan bersekolah.
“Mereka nak untung, nak penuhi tempahan pelanggan tapi kami yang menanggung masalah disebabkan mereka beroperasi sehingga larut malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Justeru, dia meminta polis serta ketua kampung yang menghadiri perjumpaan sebelum ini supaya menasihati pengurusan kilang agar tidak memungkiri janji dengan penduduk yang sudah tidak tahan menanggung bunyi bising setiap malam.
Mahmud memberitahu, paling terkesan ialah penduduk di Lorong Pusaka kerana kedudukan kediaman mereka hanya 100 meter dari kilang tersebut yang turut menyebabkan habuk simen berterbangan.
Katanya, bukan sahaja pakaian dijemur terkena debu atau habuk simen, malah keadaan itu dibimbangi mengakibatkan penyakit kulit terutama kepada golongan kanak-kanak dan warga emas.
Sementara itu, Mohd. Fazli Mahmud mempersoalkan pengambilan ramai pekerja asing di kilang tersebut yang sepatutnya diberikan keutamaan kepada penduduk setempat yang menganggur dan masih mencari pekerjaan.
“Ramai pekerja asing dari Nepal, Myanmar, Vietnam dan sebagainya diambil bekerja tetapi penduduk tempatan disisihkan oleh pihak pengurusan kilang,” katanya.
Justeru, dia meminta Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) melakukan siasatan ke atas kilang tersebut yang memberi keutamaan kepada pekerja asing berbanding rakyat tempatan. – UTUSAN











